
Raja Muda Perlis ketuai kayuhan 111 MAIPs peduli
KANGAR 14 Jan. – Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mencipta sejarah baharu dengan mengetuai sebanyak 111 kali Kayuhan MAIPs Peduli sepanjang tahun 2024 yang lalu, menjadikan jumlah keseluruhan kayuhan kini sebanyak 978 kali sejak inisiatif ini dimulakan dalam tahun 2013.
Kayuhan ini turut menyaksikan seramai 5,563 orang asnaf disantuni, menjadikan jumlah keseluruhan asnaf yang telah menerima manfaat program ini meningkat kepada 51,028 asnaf.
Dari segi agihan zakat, sebanyak RM3,894,100 telah diagihkan tahun lalu, menjadikan jumlah keseluruhan wang zakat yang telah disalurkan menerusi program Kayuhan MAIPs Peduli kini mencecah RM33,195,600.
Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor, turut meluahkan rasa bangga atas dedikasi Tuanku Syed Faizuddin Putra dan sokongan padu pelbagai pihak terhadap program ini.
“Kayuhan MAIPs Peduli bukan sekadar satu usaha simbolik, tetapi sebuah gerakan transformasi yang melibatkan semua pihak dalam membantu golongan asnaf. Pencapaian ini membuktikan komitmen MAIPs untuk terus turun ke lapangan bersama masyarakat,” katanya.
Beliau menekankan bahawa inisiatif ini adalah peluang terbaik untuk mendekati masyarakat dan memahami cabaran mereka secara langsung.
“Melalui kayuhan ini, kita dapat mengenal pasti keperluan sebenar masyarakat dan menyampaikan bantuan dengan lebih efektif. Ini adalah sebahagian daripada visi MAIPs untuk terus relevan dan disayangi rakyat,” ujarnya.
Program ini turut melibatkan kerjasama erat dengan pemimpin kariah seperti amil, pegawai, dan ahli jawatankuasa masjid, selain mendapat sokongan daripada agensi seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Pendidikan Negeri, dan Jabatan Kesihatan Negeri Perlis.
Inisiatif ini selaras dengan Pelan Strategik MAIPs untuk mendekati masyarakat secara langsung, memperkukuhkan peranan MAIPs dalam pembangunan sosioekonomi umat Islam di negeri Perlis, dan memastikan golongan asnaf terus disantuni.
Maklumat tersebut dikongsikan oleh Mohd Nazim sempena sesi pembuka tirai Kayuhan MAIPs Peduli bagi tahun 2025 di sekitar Padang Katong, Kangar baru-baru ini.
Ketua-ketua jabatan dan agensi Negeri serta Persekutuan turut menyertai kayuhan ini bagi memastikan inisiatif murni ini melibatkan semua organisasi terbabit serta memainkan peranan masing-masing dalam usaha mengurangkan jumlah asnaf di Perlis.
Baginda yang juga merangkap Tuanku Yang DiPertua MAIPs turut berkenan menyempurnakan sumbangan MAIPs kepada tiga orang asnaf yang terpilih pada edisi kali ini iaitu Yam Saad, 78 tahun dari Taman Bunga Padi, Huslan Hamid, 64 tahun dari Kampung Teluk Kachang dan Leha Samat, 78 tahun dari Kampung Pengkalan Assam.
Setiap asnaf menerima wang tunai sebanyak RM700, Kits MAIPs Peduli dan beras fidyah bagi menampung keperluan harian mereka.