UPSI anjur program terap jiwa patriotik dalam kalangan kanak-kanak
Sempena sambutan bulan kemerdekaan dan Hari Malaysia, TASKA dan TADIKA BITARA Penyelidikan Perkembangan Kanak-kanak Negara (NCDRC), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mengadakan beberapa acara bagi menerapkan jiwa patriotik di peringkat muda.
Naib Canselor, Prof Datuk Md Amin Md Taff berkata semangat patriotism terhadap tanah air perlu dipupuk seawal kanak-kanak lagi agar mereka menjadi insan menghargai sumbangan negara.
“Langkah diambil NCDRC bersesuai dengan semangat dan sambutan yang diadakan oleh Kerajaan Malaysia saban tahun, “ katanya.
Antara acara yang diadakan termasuklah Family Potret Merdeka, Rona Malaysia, Pertandingan Lagu Patriotik, Peragaan Perwira Cilik, Laungan Deklamasi Sajak Patriotisme dan Projek Jalur Gemilang.
Sementara itu, Pengarah NCDRC, Prof. Madya Dr. Mazlina Che Mustafa dalam ucapan perasmiannya berkata program setiap tahun NCDRC itu bertujuan memupuk nilai patriotisme cinta akan negara dalam diri kanak-kanak dari bangku sekolah lagi agar mereka mudah mendalami dan memahami lebih awal dalam diri mereka akan semangat cinta akan tanah air bertuah kita sendiri.
“Ia juga dapat mengeratkan hubungan silaturahim antara pelajar, guru-guru dan ibu bapa sekali gus kanak-kanak berasa selesa dan tenang untuk bergaul dan bercakap dengan guru serta rakan-rakan walaupun secara dalam talian,” katanya.
Program membabitkan 85 penyertaan kanak-kanak TASKA dan TADIKA itu, katanya, membuatkan mereka lebih terdidik dengan perasaan menghargai keharmonian serta memberi sumbangan kepada pembangunan negara kelak.
Beliau berkata ia bukan sekadar laungan merdeka semata-mata tetapi apa yang penting adalah memahami, menghayati dan menterjemahkannya dalam kehidupan seharian itu dengan lebih bermakna.
“Pertandingan yang diadakan dapat menarik murid menghayati kemerdekaan, memupuk nilai murni dan perpaduan dalam kalangan murid berbilang kaum. -SM