Bencana alamHaiwanNasional

Unit K9: Denti dan Frankie diterbangkan ke Turkiye sertai misi SAR

DUA ekor anjing Unit Pengesan (K9), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM), Denti dan Frankie diterbangkan ke Turkiye semalam untuk menyertai misi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa kejadian gempa bumi.

Turut diterbangkan bersama mereka adalah bola tenis iaitu ‘reward’ (ganjaran) kepada hero berkaki empat itu yang diberi jika usaha mereka berhasil di lokasi SAR, kata pengendali Denti (baka Labrador), Tony Albert Mani, 29.

“Kita ada bawa ‘reward’ ke sana. Ya betul, ia berupa bola tenis. Kita akan beri ‘reward’ tersebut dekat pangkalan kita lepas sesi SAR selesai,” katanya.

Terdahulu FMT melaporkan, bola tenis merupakan ‘gaji lumayan’ yang ditunggu-tunggu oleh kesemua enam ekor anjing pengesan selepas selesai menjayakan apa jua tugasan SAR.

Selain Denti dan Frankie, unit K9 turut dianggotai Blake, Groose, Pop dan Lady yang begitu popular ketika misi SAR tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Batang Kali, Selangor pada 16 Disember tahun lepas.

Menurut Tony, sebaik bencana gempa bumi dilaporkan berlaku di selatan Turki serta kawasan utara Syria pada awal Isnin lalu, unit K9 mula dipersiapkan dengan menjalani latihan yang lebih ketat.

“Kita buat macam biasa latihan tapi kita tingkatkan (latihan) dan tekankan untuk pengesanan.

“Berkemungkinan operasi kali ini lama. (Mungkin) lebih lama daripada SAR Batang Kali,” katanya.

Selain Denti dan Frankie, semalam, Malaysia turut menghantar 20 anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART), 30 anggota JPBM dan 20 pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM).

Terdahulu, seramai 75 orang anggota Pasukan Mencari Dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) dihantar ke Turki, pada Isnin, baru-baru ini.

Pengendali Frankie (baka English Springer Spaniel), Thivagaran Yutaman, 45, berkata, dua ekor anjing itu akan dipantau dan kedua-duanya tidak akan dibiarkan keletihan sepanjang misi SAR berlangsung.

“Kita tak akan bagi dia penat. Kena tengok keadaan cuaca di sana macam mana. Mungkin kita buat dalam 15 minit (kerja mengesan).

“Kalau di sini (Malaysia) boleh setengah jam, mungkin tempat (Turkiye) sejuk. Jadi, kita buat dalam 15 minit atau 10 minit dan bagi dia rehat,” katanya. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button