Pendidikan

UniMAP tandatangan MoU dengan IUM Namibia

KANGAR 14 Ogos – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) terus mengorak langkah memperluaskan jaringan kerjasama akademik peringkat antarabangsa apabila menandatangani Memorandum Perjanjian Persefahaman (MoU) bersama The International University of Management (IUM) di Namibia baru-baru ini.

MoU tersebut ditandatangani oleh Naib Canselor UniMAP, Prof Dato’ Ts Dr Zaliman Sauli dan Naib Canselor IUM, Prof Dr Osmund Damian Mwandemele.

Majlis turut disaksikan oleh Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga merangkap Tuanku Canselor UniMAP dan anakanda Baginda yang juga WarisvYang Kedua Negeri iaitu Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail serta Pengasas IUM, Prof Dr David Richard Namwandi.

Menurut Zaliman, MoU itu adalah langkah strategik untuk memperkukuhkan hubungan rasmi serta membina asas kukuh bagi kerjasama akademik antara kedua-dua universiti.

“UniMAP ingin mendalami kekuatan IUM dan pada masa yang sama, kami sangat terbuka untuk berkongsi kepakaran yang dimiliki oleh UniMAP,” katanya, lapor Harakah Daily

Beliau turut menyatakan bahawa kepakaran UniMAP meliputi pelbagai bidang termasuk akademik dan penyelidikan dengan peluang kerjasama dalam program-program pentadbiran, komunikasi dan perniagaan yang berpotensi besar untuk memajukan kedua-dua institusi.

Zaliman juga menyentuh mengenai aspek mobiliti pelajar dan staf termasuk pertukaran akademik, program latihan dan projek penyelidikan bersama yang dibincangkan secara terperinci bagi memaksimumkan manfaat kepada semua pihak.

“UniMAP berharap kerjasama ini akan memberi manfaat bukan sahaja kepada institusi pendidikan tinggi tetapi juga kepada negara,” tambah beliau.

Dalam lawatan kerja yang sama, Zaliman yang mengiringi Tuanku Pemangku Raja Perlis dalam Program Safar Ilmi Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) ke negara tersebut turut melawat Universiti Namibia (UNAM) dan menyerahkan Surat Niat (LoI) kepada Naib Canselor UNAM, Prof Dr Kenneth Matengu.

Dalam pertemuan tersebut, beliau menyatakan komitmen UniMAP untuk meneroka peluang kerjasama dalam bidang-bidang yang berpotensi.

“Kerjasama ini merupakan kunci utama dalam memajukan inisiatif akademik, penyelidikan serta pertukaran pelajar dan kakitangan.

“Mudah-mudahan kerjasama ini akan membuka jalan kepada projek penyelidikan inovatif dan peluang pembelajaran yang memberi manfaat kepada kedua-dua institusi,” katanya.

Beliau menyifatkan lawatan kerja ini bukan sahaja mengukuhkan hubungan antara UniMAP dan rakan-rakan akademik di Namibia, tetapi juga membuka peluang baru untuk kerjasama dan pertukaran ilmu yang bermanfaat.

“Ia menandakan permulaan kepada era baharu dalam hubungan akademik antarabangsa, dengan kedua-dua universiti berkomitmen untuk bekerjasama dalam usaha mencapai kecemerlangan global dalam pendidikan dan penyelidikan,” ujar beliau.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button