UniMAP laksana USR dengan Program Hepta-Heliks@KRT
UNIVERSITI Malaysia Perlis (UniMAP) mengambil pendekatan berbeza bagi pelaksanaan tanggungjawab sosial universiti (USR) apabila berkongsi pengetahuan mereka dengan komuniti menerusi Program Hepta-Heliks@KRT.
Naib Canselor UniMAP, Prof. Datuk Ts. Dr. Zaliman Sauli berkata, objektif penganjuran program ini adalah sumbangan universiti kepada masyarakat dalam bentuk tenaga, pengetahuan serta kemahiran.
“Ia merupakan program yang julung kalinya melibatkan proses pemindahan ilmu kepada komuniti,” katanya.
Beliau berkata, jika disebut USR atau CSR, antara aktiviti yang dilaksanakan adalah gotong-royong atau keluarga angkat.
“Ia berbeza dengan program hari ini di mana seramai 457 pelajar bagi kursus kokurikulum UniMAP berpeluang untuk berkongsi pengetahuan dengan komuniti mengenai apa yang mereka pelajari dalam kursus kokurikulum mereka,” katanya ketika merasmikan Majlis Penutup Program Hepta-Heliks @ KRT di KRT Simpang Sanglang/Padang Gelam, Sanglang, Perlis.
Turut hadir , Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UniMAP, Prof. Dr. Mohd Fo’ad Sakdan, Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Negeri Perlis, Hanita Ahmad, Pengarah Pusat Kokurikulum UniMAP, Prof. Madya Ts. Dr. Nik Noriman Zulkifli, Pengerusi KRT Permatang Kerian/Kampung Rama, Ku Hashim Ku Bakar dan Pengerusi KTS Simpang Sanglang/Padang Gelam, Ghazali Che Pa.
Zaliman berkata, program ini dapat menggalakkan pemindahan ilmu yang telah dijana di universiti kepada komuniti untuk tujuan memperluas dan memperkukuhkan ilmu masyarakat awam.
“Komuniti dapat memanfaatkan ilmu yang dikongsikan untuk meningkatkan kualiti hidup manakala para pelajar pula dapat meningkatkan pembangunan peribadi dan professional diri masing-masing sekaligus mereka ini akan bersifat mesra masyarakat yang mampu hidup bersama dalam satu komuniti tanpa mengira agama, bangsa, kepercayaan dan ideologi,” katanya
Program itu dinamakan Hepta-Heliks di mana ‘Hepta’ membawa maksud sebuah bentuk dengan tujuh sisi atau sudut dan ‘heliks’ adalah jalinan atau jaringan yang bertepatan dengan tujuh kursus kokurikulum yang ditawarkan di peringkat Diploma UniMAP.
Tujuh kursus tersebut ialah Kumpulan Latihan Kelanasiswa Malaysia (KLKM); Briged Bomba dan Penyelamat; Bulan Sabit Merah Malaysia; Pertahanan Awam; Pandu Puteri Klover; St. John Ambulans Malaysia; dan Pancaragam.
Tambah Zaliman, Kursus Kokurikulum Berkredit (KKB) yang telah diperkenalkan di Institut Pengajian Tinggi (IPT) adalah berteraskan Kemahiran Insaniah yang meliputi kemahiran berkomunikasi, kemahiran kerja berpasukan, pemikiran kritis dan kemahiran menyelesaikan masalah, kemahiran pembelajaran berterusan dan teknologi maklumat, kemahiran etika moral, kemahiran keusahawanan, serta kemahiran kepemimpinan.
“Kemahiran-kemahiran ini amat penting kepada para pelajar agar ianya bersesuaian dengan tuntutan dan keperluan masa depan negara dan global.
Program sebegini dilaksanakan untuk membolehkan pelajar memberi khidmat sosial kepada universiti dan masyarakat bila-bila masa sahaja ,” katanya. – SM
BACA UniMAP terus lebarkan program KTP TVET UNiTY@PERLIS untuk masyarakat