BeritaPendidikan

UniMAP laksana kira-kira 150 USR dalam tempoh dua tahun

Sejak 2019 sehingga 2021 Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) telah melaksanakan lebih kurang 150 program mengikut tema ‘University Social Responsibility (USR)’ di seluruh negeri Perlis. Antaranya Lightboard Studio; Perlis Special Teens Centre Independent Living Centre (PesTec -ILC); Seberang Ramai Lestari; Program Kenali Penyakit Anda; Kursus Bahasa Inggeris kepada Angkatan Tentera Darat dari Kem Wilayah Utara; Amazing Science 3.0, Projek Tanaman Cendawan Menggunakan Sistem Kelembapan Optimum; Pemasangan Solar dan banyak lagi.

Demikian dimaklumkan oleh Naib Canselor UniMAP, Prof Ts Dr Zaliman Sauli selepas mengiringi Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang berkenan untuk berangkat hadir merasmikan Pameran Fotografi berjudul ‘Reflection’ oleh Jasni Hashim @ Ved Vedder di Galeri Bangunan Canselori UniMAP di Kampus Alam Pauh Putra.

Jasni yang merupakan seorang jurutera yang berkhidmat di Jabatan Pembangunan UniMAP sejak 2003 memanfaatkan masa di luar waktu pejabat untuk berkarya melalui lensa kamera. Beliau merakamkan keindahan alam semulajadi terutama ketika matahari naik dan juga terbenam.

Hadir sama ialah Timbalan-timbalan Naib Canselor, Pegawai-pegawai Utama serta Dekan-dekan universiti.

Sementara itu, Zaliman menerangkan bahawa program Perlis Special Teens Centre -Independent Living Centre (PesTec -ILC) yang dilaksanakan oleh UniMAP adalah khusus bagi mendidik remaja dan belia OKU dengan keperibadian, identiti dan nilai-nilai kerohanian untuk menangani masalah sosial seperti gangguan seksual, penyalahgunaan najis dadah dan kegiatan jenayah dalam masyarakat. Di samping itu ia juga adalah untuk melatih remaja dan belia OKU dengan kemahiran vokasional bagi memudahkan mereka hidup dalam masyarakat secara bebas dan menyumbang kembali kepada masyarakat dalam aktiviti ekonominya.

Tambah beliau, ‘Dalam zaman pandemik ini, UniMAP juga turut berkongsi kepakaran melalui program Lightboard Studio berfokus kepada para pelajar yang terpaksa belajar secara dalam talian dan rata-rata mereka menghadapi masalah untuk mengadaptasi situasi berkenaan. Program ini adalah untuk kegunaan pengajaran dan pembelajaran dalam talian supaya lebih inovatif dan menarik’.

Pelbagai usaha diinisiatifkan oleh UniMAP bagi menyahut titah saranan Tuanku Raja Muda yang juga merangkap Tuanku Canselor UniMAP sejak dari awal penubuhannya lagi untuk turut serta memainkan peranan kecilnya memastikan ‘Rakyat Perlis Hidup Sejahtera’ khususnya bagi OKU serta golongan yang memerlukan di negeri ini.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button