Nasional

UniMAP anjur seminar WoGoS sempena hari Askar Wataniah

Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menganjurkan Forum “Whole of Government and Whole of Society (WoGoS) : Satu Pendekatan Ke Arah Pertahanan Komprehensif” sempena Sambutan Hari Ulang Tahun Askar Wataniah Ke-66 di Auditorium Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra, Kampus Alam (UniMAP), Pauh Putra.

Pemangku Raja Perlis Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga merangkap Canselor UniMAP dan juga Komander Rejimen 504 Askar Wataniah berkenan berangkat menyempurnakan majlis perasmian forum yang amat relevan dengan situasi semasa dunia pada ketika ini.

Keberangkatan tiba Baginda disambut oleh Naib Canselor UniMAP, Prof. Datuk Ts. Dr. Zaliman Sauli dan Asisten Panglima Pasukan Simpanan, Mejar Jeneral Datuk Abdul Rahman A Wahab dan Panglima Briged Ke-30 Infantri Malaysia, Brigedier Jeneral Datuk Mohd Zaini Hashim.

UniMAP mendapat kerjasama padu daripada Bahagian Pasukan Simpanan Tentera Darat melalui Rejimen 504 Askar Wataniah dan Webinar Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) yang bertujuan untuk mengupas dan membincangkan peranan setiap agensi kerajaan, pemegang taruh termasuk masyarakat awam, swasta dan industri bagi mendukung matlamat WoGoS.

WoGoS merupakan satu inisiatif dalam mempertahankan keselamatan nasional dan kedaulatan negara Malaysia. Ia merupakan kesinambungan kepada dasar ‘Hanruh’ yang diperkenalkan pada tahun 1986 oleh Kerajaan Malaysia. Istillah ini merujuk kepada pertahanan menyeluruh atau ‘Total Defense’.

Mejar Jeneral Abdul Rahman dalam ucapannya menegaskan, tanggapan di pemikiran generasi kini bahawa isu keselamatan dan pertahanan negara hanya terletak di bahu pasukan keselamatan terutamanya Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) perlu diperbetulkan dan diindoktrinasikan semula kerana setiap individu mempunyai peranan di dalam menjamin kesejahteraan, keselamatan dan kedaulatan negara.

“Adalah ruginya masyarakat negara ini sekiranya terus mengabaikan budaya murni yang telah sedia ada dan pernah diamalkan di negara ini dahulu, walhal terdapat negara lain yang telah belajar dari negara ini di dalam menguruskan keselamatan dan pertahanan negara bahkan telah jauh lebih maju ke hadapan”, tambah beliau lagi.

Asisten Panglima Pasukan Simpanan turut berpandangan agar semua pihak harus mengambil sikap terbuka untuk melalui proses transformasi bagi mewujudkan lanskap kerjasama merentasi agensi demi untuk mencapai satu matlamat iaitu mempertahankan keselamatan dan kedaulatan tanah air tercinta ini.

Kemuncak Forum WoGoS ini ialah perkongsian yang disampaikan oleh dua figura ternama sebagai panel iaitu mantan Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Datuk Seri Dr. Haji Noor Hisham Abdullah dan Felo Penyelidik Kanan Pusat Penyelidikan dan Konsultansi (INTAN), Iswalah Arshad.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button