UMNO tidak akan surrender, tunduk, dibuli dan dibeli – Zahid
UMNO tidak akan sama sekali menyerah kalah kepada mana-mana pihak. Malah parti itu tidak akan tunduk kepada sesiapa dan sama sekali tidak akan menjadi parti yang boleh dibuli. Parti yang didominasi orang Melayu Islam itu juga tidak mudah untuk dibeli.
Penegasan itu dibuat oleh Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi di tengah-tengah khabar angin kononnya terdapat usaha untuk melemahkan sekaligus mengharamkan parti itu.
“UMNO bukan parti tidak sedar diri. UMNO bukan parti lemah. UMNO tahu apa yang sepatutnya UMNO tahu.
“UMNO tahu suatu ketika ia pernah tewas angkara fitnah dan pembohongan. UMNO cekal pada kebenaran. UMNO terus menegakkan kebenaran. Dan kebenaran itu lebih berhak untuk diikuti” (والحق أحق أن يتبع).
“Dengan itu juga UMNO sama sekali tidak ‘surrender’. UMNO tidak tunduk, dibuli atau dibeli,” kata Ahmad Zahid.
Ahmad Zahid yang mengambil alih kepimpinan UMNO daripada Datuk Seri Najib Tun Razak dalam pemilihan parti selepas parti itu tewas dalam Pilihan Raya Umum ke-14 berkata, UMNO telah berusaha untuk bangkit semula.
Dan ketika ini menurutnya, kebangkitan UMNO sedang berlaku dengan senyap tapi penuh dengan kebijaksanaan dan kebaikan.
Parti itu telah bangkit tanpa sedikitpun membiarkan maruahnya dipijak dengan hina selain meletakkan kepercayaan sepenuhnya kepada Allah untuk parti itu mara ke hadapan.
“UMNO berusaha bangkit dan insya-Allah kebangkitan UMNO sedang berlaku. UMNO bangkit dalam diam penuh hikmah. UMNO bangkit tanpa melukut ditepi gantang.
“Bertawakal pada Tuhan – UMNO tahu apa yang patut dilakukan. Pisang tidak berbuah dua kali.
“UMNO tetap mara. Dengan izinNya lambang kita yang gagah akan terus dipandang mulia dan indah,” kata Ahmad Zahid dalam Facebooknya.
Ahli Parlimen Bagan Datuk itu bagaimanapun tidak memberitahu lebih lanjut mengapa beliau mengeluarkan kenyataan yang membangkitkan semangat ahli UMNO untuk mempertahankan parti itu.
Bagaimanapun sejak beberapa bulan lalu parti pimpinan Ahmad Zahid menunjukkan perasaan tidak puas hati terhadap Bersatu yang dipimpim oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin.
Malah UMNO merancang untuk menjadikan perhimpunan agungnya pada hujung bulan ini bagi memberi pilihan kepada perwakilan untuk menyatakan pandangan sama ada mahu meneruskan kerjasama dengan Bersatu atau tidak.
Bagaimanapun perhimpunan tersebut ditangguhkan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan dan Proklamasi Darurat.-SM