UMNO Sabah mahu bertanding di 13 kerusi Parlimen pada PRU15
SEKURANG-KURANGNYA 13 kerusi Parlimen disasarkan untuk ditandingi oleh UMNO Sabah pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.
Pada PRU ke-14, parti itu bertanding di 14 kerusi Parlimen iaitu Kudat, Kota Belud, Sepanggar, Papar, Kimanis, Beaufort, Sipitang, Tenom, Beluran, Libaran, Kinabatangan, Silam, Semporna dan Kalabakan.
Namun untuk PRU15 UMNO Sabah telah membuat kajian melalui Jabatan Urusan Pilihanraya (JUARA) UMNO Sabah di mana Sekretrariat Penyelidikan yang di pengerusikan oleh Ir Shahelmey Yahya.
“Penyelidikan akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat dan hasil daripada rumusan laporan itu nanti kita akan muktamadkan keputusan kerusi Parlimen mana yang bakal ditandingi oleh UMNO,” kata Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin.
Katanya, pihaknya juga akan berunding dengan rakan-rakan dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berkenaan dengan agihan calon-calon yang bakal bertanding pada PRU ke-15.
“Rundingan awal akan dilakukan berdasarkan kepada kekuatan parti masing-masing dan ia perlu diputuskan lebih awal tanpa menunggu saat-saat akhir menghadapi pilihan raya.
“Dalam PRU-15, kita nak menang untuk tubuhkan kerajaan bukan kerusi untuk bermegah, jadi mesti diteliti setiap kerusi, geopolitik kehendak pengundi dan lokaliti,” katanya. – SM