Umno mohon ihsan Agong beri Najib pengampunan penuh
KUALA LUMPUR – Umno memohon ihsan, kebijaksanaan dan keadilan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim untuk memberikan pengampunan penuh buat Datuk Seri Najib Razak.
Ini selaras kuasa prerogatif Baginda di bawah peruntukan Perkara 42 (1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan.
Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, Umno menjunjung kasih Sultan Pahang yang telah memperakukan titah adendum berkenaan penahanan dalam rumah (house arrest) Najib adalah wujud dan sahih.
“Perakuan kesahihan titah adendum ini yang dizahirkan oleh Pengelola Bijaya Diraja Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang membuktikan kebenaran afidavit tambahan menyokong petisyen Najib yang telah dibuat oleh saya dan Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, sebelum ini,” ujar Zahid.
Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata lagi, Umno menghormati proses perundangan yang sedang berlangsung dan akan terus memperjuangkan keadilan buat Najib.
“Saya juga ingin menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada ahli-ahli Umno serta penyokong setia yang tidak pernah lelah memberikan sokongan dan doa sepanjang perjalanan ini,” kata Zahid.