UMNO mahu dominan: Pakatan Harapan terbuka untuk rundingan, kata Anwar
DATUK Seri Anwar Ibrahim berkata, Pakatan Harapan (PH) sentiasa sedia berunding untuk kerjasama dengan Barisan Nasional pada PRU16.
Beliau yang juga Pengerusi PH berkata, rundingan sentiasa terbuka walaupun pemimpin Umno mahu parti itu menjadi dominan.
Malah beliau memberi jaminan rundingan akan diadakan secara baik bersama BN dan parti komponen gabungan itu dalam mendepani landskap politik negara.
“Hubungan kita dengan Umno dan BN masih di tahap sangat baik. Kerjasama di peringkat ini sangat memuaskan.
Justeru, untuk masa hadapan, kita masih membuka ruang untuk berbincang secara baik,
katanya ketika ditemui selepas merasmikan Muktamar Masjid Se-Malaysia untuk Al-Aqsa dan Palestin sempena sambutan Hari Masjid Sedunia 2024 di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Ketika berucap di Perhimpunan Agung UMNO Jumaat lalu, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberi amaran kepada ahli UMNO supaya mengetepikan perbezaan dalam usaha memperkuatkan parti supaya ia kembali dominan pada PRU16.
Katanya, untuk jadi dominan semula, tidak ada orang lain boleh bantu UMNO kecuali mereka memperkuatkan parti.