Umno Kelantan juarai pecah Muafakat Nasional
KOTA BHARU: “Pilihan raya sudah dekat kita harus tanam keazaman yang tetap dan sasaran kita 45-0. Saya ada lima sebab mengapa rakyat perlu tolak Umno.
“Sebenarnya apa yang dilakukan oleh Umno kepada rakyat Kelantan sangat besar salahnya bukan sahaja di Kelantan tetapi semua orang Melayu di negara kita,” kata Presiden NGO Muafakat Nasional Tan Sri Annuar Musa.
Katanya Pengerusi Umno Kelantan, Dato’ Ahmad Jazlan Yaakob merupakan pemimpin Umno pertama yang memecahkan Muafakat Nasional (MN) apabila mufarakah dengan PAS.
Kata beliau tindakan pemimpin Umno Kelantan itu direstui Presiden Umno Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi.
“Dosa besar itu menjadi punca awal MN yang diwujudkan bagi menyatukan orang Melayu di negara ini runtuh akhirnya,” pada Himpunan Munajat Rakyat Kelantan di Stadium Sultan Muhammad IV malam tadi, lapor Harakah.
Selain itu pemimpin Umno juga bertanggungjawab menjatuhkan kerajaan yang dianggotai PAS, Umno dan Bersatu dipimpin oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob.
“Perdana Menteri ketika itu paling pemurah, tidak pernah dalam sejarah melantik tujuh menteri dan ramai timbalan menteri orang Kelantan.
“Kelantan diberi penghormatan oleh kerajaan Pusat ketika itu. Kita telah bersiap sedia untuk membangunkan negeri tetapi hasrat ini tidak tercapai kerana sabotaj pimpinan Umno Kelantan,” katanya.
Bekas Ahli Parlimen Ketereh itu juga menjelaskan pemimpin Umno Kelantan juga bersubahat dengan Kerajaan Madani untuk menzalimi kerajaan negeri diterajui PAS.
Menurutnya, permohonan kerajaan negeri untuk membangunkan kemudahan asas untuk rakyat di Kelantan banyak tidak dipedulikan, bahkan banyak kenyataan berbaur ugutan sering dikeluarkan.
Bukan sahaja bekalan air bersih malah katanya lagi, pembinaan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Tanah Merah dan MRSM Ulul Albab di Ketereh kini dibatalkan dan ditangguh.
“Pemimpin Umno yang ada dalam kerajaan hari ini bersubahat menzalimi Kelantan, mereka tersengeh-sengeh apabila Menteri Kerajaan Madani berdolak dalih peruntukan projek bekalan air bersih.
“Tiada maruah punya pemimpin, negeri kita dihina dia boleh senyum main, dia boleh ketawa, mereka main politik nak tekan Kelantan,” katanya.
Katanya juga beliau dijatuhkan presiden Umno kerana ada ejen tali barut Umno Kelantan.