UMNO jangan sombong, bongkak dan angkuh
UMNO perlu ambil iktibar dari apa yang telah berlaku pada PRU10 tahun 1999. Pada tahun itu jika tidak kerana undi kaum bukan Melayu dan juga Bumiputera Sabah Sarawak sudah pasti UMNO BN hilang kuasa kepada Barisan Alternatif.
Fakta nya jelas, pada pilihanraya tahun 1999 daripada 193 kerusi parlimen yang dipertandingkan BN telah memenangi 148 kerusi Parlimen.
UMNO – 72
MCA – 28
MIC – 7
GERAKAN – 7
(SARAWAK)
PBB – 10
SUPP – 7
SNAP – 4
PBDS – 6
(SABAH)
UPKO – 3
SAPP – 2
LDP – 1
BEBAS – 1
Pilihan raya 1999 telah menunjukkan bahawa BN tidak boleh beranggapan bahawa UMNO akan selalu menang. Sokongan Melayu untuk UMNO tidak terjamin, dan kejayaannya dalam pilihan raya ini adalah disebabkan oleh undi-undi pengundi bukan Melayu serta sokongan yang kuat daripada negeri Sabah dan Sarawak.
Apakah kita ahli dan pemimpin parti UMNO masih merasakan kita kuat dan akan dipilih rakyat pada pilihanraya akan datang?
Adakah kita sedar bahawasanya rakyat telah menolak kita pada PRU ke 14 yang lalu yang mana buat pertama kali nya kita telah hilang kuasa yang telah diamanahkan oleh orang orang Melayu?
Apakah kita lupa bahawa rakan komponen UMNO yang telah membantu menyelamatkan kita pada PRU 1999 juga telah kalah teruk dan lari meninggalkan kita pada PRU 2018 lalu?
Pertahankan maruah UMNO? Saya petik kenyataan Dato Seri Najib Razak pada 23 Oktober 2015 “Orang Melayu akan bangsat jika UMNO hilang kuasa”. Apa lagi nak dibanggakan dengan maruah UMNO jika realitinya kita sebenarnya telah hilang kuasa dan ditolak oleh orang Melayu itu sendiri?
Hari ini UMNO bukan seperti dulu boleh mengharapkan undi orang Melayu apatah lagi mengharapkan undi bukan Melayu. Jangan diharap undi kaum lain jika undi Melayu itu sendiri telah berpecah dan telah terbukti DAP telah menjadi pilihan kaum bukan Melayu sejak 2008 lagi dan kemuncak nya pada pilihanraya ke 13 tahun 2013.
Jadi apa pilihan yang UMNO ada hari ini? Mahu Muafakat Nasional bersama PAS dan tolak kerjasama dengan PPBM? Bagaimana mahu MN jika dalam masa yang sama PAS memberikan jawapan yang parti mereka mahu bersama UMNO dan PPBM?
PAS main dua kolam? PAS kawin dua? Itu semua bukan PAS peduli kerana PAS telah memberikan jawapan nya dengan tegas tidak akan akan bekerjasama dengan DAP apatah lagi bersekongkol dengan Anwar Ibrahim kerana sudah serik dan tahu apa ancaman yang dibawa.
Jadi kita UMNO akan pergi sendiri? Pergi dengan bangga bahawa selama ini UMNO boleh bersendirian? Berapa penjuru ? 3 penjuru? 4 penjuru? Dan kemudian nya apa? Berapa kerusi yang UMNO ada dan kemudian bergabung dengan parti lain tak peduli sama ada ianya adalah DAP?
Kenapa perlu pilih jalan sukar? Kenapa perlu merisikokan bangsa Melayu itu dengan menolak penyatuan Ummah antara parti parti politik Melayu? Bukan kah kita telah lihat apa yang berlaku pada tahun 1999 yang mana orang Melayu ada pilihan lain selain UMNO. Apakah kita lupa PRU lalu kita hilang kuasa?
Inilah masanya untuk kita mengenepikan ideologi politik kepartian dan bersama dalam memastikan kuasa politik Melayu Bumiputera diterjemahkan dengan mandat rakyat 2/3 majoriti parlimen. Ambil lah kesempatan dan peluang yang mungkin buat kali terakhir yang orang Melayu ada untuk menguatkan kembali landskap politik negara dengan meletakkan Islam Melayu Raja Bumiputera ke tempat yang lebih tinggi.
Sekarang dalam tempoh darurat adalah masa terbaik untuk kita akar umbi dan pimpinan parti mengukuhkan parti keramat orang Melayu ini. Gunakan peluang yang ada untuk memberikan keyakinan kepada pengundi Melayu agar mereka melihat UMNO parti Rakyat dan perjuangan nya adalah untuk membela kebajikan Rakyat dan memakmurkan ekonomi negara.
Cuba kita hayati rangkap Lirik lagu anak kecil main api yang mungkin ada ahli dan pemimpin UMNO telah lupa hari ini.
“Kini kita cuma tinggal kuasa
Yang akan menentukan bangsa
Bersatulah hati bersama berbakti
Pulih kembali harga diri”
UMNO amanah orang Melayu, orang Melayu mengamanahkan kepada kita untuk menjaga mereka dan begitu juga ahli dan pemimpin UMNO untuk memastikan amanah yang digalas dapat menyatu padukan orang Melayu Bumiputera.
“Kalau bukan kita siapa lagi? Kalau bukan sekarang bila lagi? Saya tidak mahu esok UMNO hanya tinggal sejarah dek kerana sikap sombong, bongkak dan angkuh nya kita dimata orang Melayu.
Wan Muhammad Azri Wan Deris
Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia
21 Januari 2021