Politik

UMNO gagal selami hasrat orang Melayu

NAMPAKNYA Barisan Nasional (BN) tetap mengutamakan kepentingan parti komponennya, MCA, walaupun ada desakan supaya kerusi Parlimen Tanjung Piai ditandingi calon Melayu.

Ini kali kedua UMNO dilihat seolah-olah membelakangkan suara akar umbi. Desakan meletakkan calon Melayu di kerusi sama pernah dibuat pada Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu.

Keputusannya, BN yang diwakili Datuk Seri Wee Jeck Seng tewas kepada calon Bersatu, Allahyarham Datuk Dr. Md. Farid Md. Rafik.

Dalam hal ini, tiada apa yang boleh dipertikaikan lagi. Keputusan telah pun dibuat.

Sekali lagi UMNO mengalah. Mungkin parti Melayu ini mahu membuktikan bahawa mereka tidak rasis.

Seperti permintaan MCA, Jeck Seng yang berkelulusan dalam bidang pentadbiran awam daripada Universiti Utara Malaysia diturunkan sekali lagi untuk menguji sokongan pengundi.

Namun, melihat kepada situasi sekarang, itu bukan persoalan utama. Yang menjadi isunya adalah wakil suara Melayu dalam Parlimen.

Sekiranya MCA ditakdirkan menang, maka, suara bukan Melayu dalam dewan yang menentukan masa depan negara akan terus bertambah.

Setakat ini kedudukan semasa wakil Melayu dalam Parlimen membabitkan semua parti
sama ada di pihak kerajaan atau
pembangkang adalah sebanyak 140 orang.

Jika mengikut pecahan, mereka terdiri daripada Pakatan Harapan (PH) – 60; BN – 62 dan Pas – 18.

Ahli Parlimen bukan Islam pula 82 kerusi iaitu
PH – 61: BN – 17 manakala Bebas – empat orang.

Jumlah kerusi Parlimen keseluruhan adalah 222.

Bercakap soal kuasa, tiada siapa dapat memberikan jaminan bahawa MCA akan terus setia berjuang mempertahankan negara ini bersama-sama parti tonggak BN, UMNO.

Pengorbanan terbesar orang Melayu adalah mereka sanggup menjatuhkan parti yang selama ini menjunjung suara mereka demi melakukan perubahan yang lebih baik kepada negara.

Realitinya, orang Melayu semakin tertekan dengan tindakan-tindakan ‘luar biasa’ parti pemerintah. Banyak isu yang diakui gagal ditangani dengan baik oleh kerajaan PH.

Keceluparan DAP terhadap kedudukan dan hak orang Melayu malah berani mempertikaikan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan, mendorong penolakan mereka secara total!

Walaupun di atas kertas, Bersatu memegang tampuk pentadbiran, tetapi kedudukan rapuh mereka dalam pakatan yang turut dianggotai DAP, sedikit-sebanyak mengurangkan keyakinan orang Melayu terhadap masa depan parti itu.

Justeru, sokongan cuba dialihkan semula kepada UMNO. Malangnya, UMNO terus-terusan dibayangi nostalgia ‘era kegemilangan’ yang pernah dicapai sebelum ini.

Dalam hal ini, pemimpin UMNO perlu terus dikejutkan daripada bermimpi. Sedarlah bahawa soal kerjasama dengan parti-parti komponen masih boleh ditentukan kemudian.

Ini tidak sukar dicapai apabila orang Melayu membuktikan mereka mampu bersatu semula!

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button