SUARA MERDEKA: Seperti pilihan raya pilihan raya sebelumnya, sebagai wartawan saya terlibat langsung dalam setiap kali rakyat negara ini memilih kerajaan untuk setiap satu penggal. Seperti biasa juga saya memilih negeri kelahiran saya Kedah kerana faktor lebih memahami dan mudah untuk bertugas.
Selain selok belok politik negeri, kawasan dan para pemimpin memang telah ada di dalam kepala. Pada pilihan raya ke-13 semasa keputusan pilihan raya diumumkan saya terperangkap di dalam kesesakan lalu lintas di bandar raya Alor Setar kerana para penyokong pembangkang ghairah meraikan kejayaan dan menyangkakan mereka telah menguasai Putrajaya.
Kebetulan saya memakai baju biru muda para penyokong mengetuk cermin kereta dan menjerit `Pak Long’ kita dah menang. Pak Long adalah panggilan hormat untuk orang lebih dewasa di Kedah. Saya pun turut melaungkan Kita menang! Dalam hati saya mereka ini belum tahu Barisan Nasional masih mengekalkan kuasa, entah dari mana ceritanya pembangkang telah memang. Pilihan raya itu diadakan 5 Mei 2013 dan Barisan Nasional mencapai kejayaan yang tipis.
Di Kedah kemenangan dicapai apabila nama Mukhriz Mahathir diumumkan bakal Menteri Besar jika Barisan Nasional menang, sedangkan ketika itu negeri di utara Semenanjung Malaysia itu didominasi oleh Pas.
Pada pilihan raya lalu kisahnya agak berbeza. Para pemimpin Barisan Nasional termasuklah Najib Razak begitu yakin menang dengan majoriti dua pertiga. Entah dari mana maklumat yang mereka perolehi saya sendiri tidak faham. Begitu juga Azeez Rahim yang mengetuai bilik perang atau war room Barisan Nasional sangat yakin pakatan itu menang termasuk Mukhriz tumbang bersama bapanya Mahathir Mohamad di Kedah.
Saya masih ingat kata Azeez lebih kurang begini `Numbers you cannot play with me’ dia naik berang ketika saya menyampaikan bacaan kawasan Baling bahawa semua dewan undangan negeri akan kalah dan hanya parlimen yang kekal kepada Barisan Nasional. Dan ternyata bacaan saya tepat.
Ketika itu jam sekitar pukul 4 pagi. Dia baru pulang berkempen dan sedang bersantai melepaskan lelah seharian. Dia begitu yakin pakatannya akan menang dua pertiga dan rasa yakin itu turut merasuk Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Aziz Ishak. Sebaik pulang dari tinjauan di Kedah saya mendengar Aziz berucap kepada kakitangan dan melahirkan keyakinan kemenangan di dalam tangan.
Saya terasa pening kerana tinjauan di lapangan menunjukkan sebaliknya. Begitu juga reaksi orang ramai di media sosial juga kecewa dengan kerajaan. Apatah lagi kerajaan kalah teruk dalam perang persepsi di media sosial. Ego pemimpin UMNO sedikit rendah apabila mereka kalah tempoh hari. Tetapi kini ego mereka semakin naik dan telinga mereka mulai tuli, mata mulai buta dan hati mereka mulai mati.
Terang-terangan ahli UMNO di Tanjung Piai tidak mahukan calon dari MCA, tetapi para pemimpin UMNO tetap memaksa ahli-ahlinya menerima keputusan yang pedih itu. Semata-mata terlalu yakin akan menang mereka meletakkan calon MCA dengan alasan bagi menunjukkan muafakat UMNO dan Pas bukan bersikap rasis. Ini juga peluang MCA untuk bangkit dan supaya kaum lain juga yakin bahawa muafakat yang digarap adalah tulen untuk kesejahteraan semua kaum.
Ini bukan masanya. Ia adalah untuk mendengar suara hati orang yang berada di bawah dan bukan para pemimpin memaksa ahli menerima doktrin mereka.
Bagi saya jika BN kalah di Tanjung Piai, Zahid Hamidi perlu meletakkan jawatan. Kegagalan itu harus dipikul sepenuhnya oleh beliau. SM