Ular sawa 3.5 meter hampir masuk rumah flat
PADA 8 Disember lalu, sebuah kejadian yang tidak diingini berlaku apabila seekor ular sawa hampir memasuki sebuah flat di Singapura.
Menurut laporan Mothership, Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Penyelidikan dan Pendidikan Keprihatinan Haiwan (Acres), Kalai Vanan Balakrishnan, pihak mereka dimaklumkan tentang kelibat ular sawa tersebut yang dilihat berada di atas kompresor penghawa dingin di Blok 925, Jurong West.
Pemilik rumah berusia 54 tahun, yang dikenali sebagai Muklis, menceritakan bahawa dua individu yang tidak dikenali telah mengetuk pintu rumahnya untuk memberitahunya tentang keberadaan ular berkenaan.
Difahamkan, mereka meminta Muklis dan isterinya menutup tingkap setelah melihat ular sawa tersebut sedang memanjat ke arah rumah mereka.
Nasib baik, Muklis segera menutup tingkap, dan tidak lama selepas itu, mereka terdengar bunyi yang menyerupai ketukan di bilik utama, yang dipercayai datang daripada ular sawa tersebut.
“Kalau saya tak tutup tingkap, mungkin ular itu berjaya masuk ke rumah,” kata Muklis, mengenangkan kejadian itu.
Muklis, yang peka dengan situasi tersebut, segera menghubungi pihak Acres untuk mendapatkan bantuan.
Menurut Kalai, panjang ular sawa tersebut yang mencapai 3.5 meter menjadikannya agak sukar untuk diselamatkan, terutama apabila ia dilihat memusingkan badannya di sekitar anggota penyelamat yang bertugas.