Ulangi kesalahan hina Agong, pekerja kilang tersenyum dipenjara 10 bulan
TIDAK serik mencetuskan kontroversi dan kemarahan masyarakat di negara ini dengan menghina Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong menerusi laman sosial Instagram, seorang pekerja kilang dipenjara 10 bulan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini.
Hakim M. M. Edwin Paramjothy menjatuhkan hukuman itu terhadap Shahril Mohd. Sarif, 37, selaku Orang Kena Saman (OKS) selepas dia mengekalkan pengakuan bersalah atas dua pertuduhan yang dihadapinya.
Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 10 bulan bagi setiap pertuduhan dan memerintahkan kedua-dua hukuman berjalan serentak bermula dari tarikh tangkap pada 2 Mac lepas.
Edwin berkata, OKS jelas mempunyai niat curang dalam membuat hantaran sedemikian.
“Bahasa yang digunakan OKS juga kesat dan lucah serta melampaui kebebasan bersuara,” katanya.
Shahril yang kelihatan tersenyum selepas mahkamah menjatuhkan hukuman akan menjalani hukuman itu di Penjara Kajang.
Mengikut pertuduhan, Shahril didakwa melalui perkhidmatan aplikasi Instagram dengan menggunakan laman profil “s.sharilbinmohd”, secara sedar membuat dan memulakan dua hantaran komunikasi jelik dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain, antara 10 pagi dan 1 tengah hari pada 1 Mac lepas.
Kedua-dua pautan itu kemudian dibaca di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Tingkat 27, Menara KPJ, Wangsa Maju, di sini pada 4.06 petang, hari sama.
Pertuduhan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara setahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Asyraf Md Kamal memohon hukuman setimpal mengambil kira ini bukan kesalahan kali pertama lelaki itu kerana sebelum ini dia pernah dijatuhkan hukuman penjara dua bulan atas kesalahan membabitkan isu sama pada April tahun lepas.
“Hantaran ini dibuat pada laman rasmi Instagram Istana Negara sewaktu siaran langsung istiadat angkat sumpah Perdana Menteri kelapan baru-baru ini.
“Tindakan OKS mengundang kemarahan dan ketidakpuasan hati masyarakat awam yang turut menonton siaran sama,” katanya.
Bagaimanapun, Shahril yang tidak diwakili peguam merayu hukuman berbentuk denda dengan alasan beliau tidak sihat termasuk menanggung isteri dan anak. – BERNAMA