Ujian kecenderungan kemasukan ke MRSM sesi 2022 bermula Selasa ini
MAJLIS Amanah Rakyat (MARA) akan mengadakan Ujian Kecenderungan Kemasukan ke Maktab Rendah Sains MARA (UKKM), Ujian Khas Ulul Albab dan Ujian Teknikal bagi Tingkatan Satu dan Empat tahun 2022.
Ujian bermula pada 3 Disember 2021 bagi calon yang berada di negeri Kedah, Kelantan, Johor dan Terengganu, manakala bagi calon dari negeri yang lain akan bermula pada 4 Disember 2021.
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, MARA menerima sejumlah 57,122 permohonan untuk ke tingkatan 1 dan 17,350 permohonan ke tingkatan 4 bagi tahun 2022. “Mereka ini akan dipanggil untuk menduduki ujian secara berperingkat sehingga 30 Januari 2022. Semakan tarikh, masa dan tempat ujian ini boleh disemak secara dalam talian bermula 29 November 2021 jam 10.00 pagi melalui Portal Rasmi MARA.”
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Buku dan Topi Keledar Sumbangan Yayasan Perintis Malaysia di Pejabat Pendidikan Daerah Padang Terap di sini hari ini. Menurut Mahdzir, pemohon akan menerima notifikasi menerusi Sistem Pesanan Ringkas (SMS) atau emel yang telah didaftarkan semasa permohonan.
Calon tidak dibenarkan untuk membuat sebarang pertukaran tarikh, masa dan tempat ujian yang telah ditetapkan. Kesemua calon yang terlibat jelas Mahdzir, akan menduduki Ujian Khas ini di 61 buah pusat ujian terpilih yang melibatkan 53 buah MRSM di seluruh negara.
Selain di 8 buah Institusi Pendidikan MARA (IPMA) yang lain di Selangor dan Negeri Sembilan.
Calon UKKM akan dinilai berdasarkan subjek Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains dan Keperibadian.
“Saya mohon semua calon bersedia dan membuat persiapan yang lengkap menjelang hari peperiksaan dan mendoakan ujian ini berjalan dengan lancar. Selamat Maju Jaya,” ujar Mahdzir. Sebarang maklumat serta informasi terkini, sila layari portal rasmi MARA di pautan www.mara.gov.my atau mengikuti laman media sosial rasmi MARA melalui Facebook, Instagram dan Twitter. – SM