Emiriah Arab Bersatu (UAE) adalah rakan dagang terbesar Malaysia di Timur Tengah dengan jumlah perdagangan bernilai RM24 bilion tahun 2021.
Kuasa Usaha Sementara, Konsulat Jeneral Malaysia di Dubai, UAE, Khairul Nazri Mohamad Taib berkata, jumlah keseluruhan eksport bernilai RM11.447 bilion dan
import pula RM12.673 bilion,
sekaligus jumlah dagangan keseluruhan meningkat 9.1 peratus berbanding 2020.
Lima eksport utama Malaysia ke UAE pada tahun 2021 adalah barangan elektrik dan elektronik (E&E) berjumlah RM2.785 bilion, barangan kemas RM1.734 bilion, minyak mentah, kelapa sawit dan produk pertanian berasaskan sawit RM813.57 juta, produk petroleum RM694.85 juta serta makanan diproses RM558.21 juta.
Manakala lima import utama Malaysia dari UAE pula adalah produk petroleum berjumlah RM4.565 bilion
minyak mentah berjumlah RM1.616 bilion, petrokimia dan produk kimia RM1.252.61 bilion, penghasilan besi RM1.018 bilion dan barang kemas RM344.51 juta.
Dari segi pelaburan UAE ke Malaysia pula katanya, sebanyak 28 projek pengilangan bernilai RM1.4 bilion
telah dijalankan dan telah menghasilkan 1,704 peluang pekerjaan.
“Antara projek-projek tersebut adalah penghasilan jentera berat, peralatan, farmaseutikal halal, penghasilan produk makanan, pengilangan produk kimia, getah, plastik dan sebagainya,” katanya.
Di samping itu, kata Khairul Nazri sebanyak 36 pejabat telah dibuka di Malaysia, antaranya syarikat-syarikat di UAE juga telah membuka pejabat wilayah, pejabat perwakilan, ibu pejabat operasi dan hub utama.
Selain itu, tambahnya dalam aspek Pendidikan Tinggi, pejabat Education Malaysia Dubai (EM Dubai) memaklumkan pada masa ini seramai 21 pelajar Malaysia belajar di UAE.
Manakala seramai 843 pelajar UAE pula sedang menyambung pengajian di Malaysia.
“EM Dubai melihat peluang dan potensi dalam menarik pelajar-pelajar UAE adalah sangat besar dan luas,” katanya.
Selain pelajar tempatan UAE, potensi yang dimaksudkan juga adalah anak-anak ekspatriat yang bekerja di sini.
Anak-anak mereka belajar di sekolah-sekolah antarabangsa di sini menjadi satu peluang yang sedang diterokai oleh EM Dubai.
Oleh yang demikian, katanya, aktiviti promosi juga telah dijalankan di sekolah-sekolah antarabangsa di UAE dan memperkenalkan Pendidikan Tinggi Malaysia.
Bagi aspek pelancongan, pejabat Tourism Malaysia Dubai (TM Dubai) memaklumkan seramai 11,174 pelancong dari UAE melawat Malaysia pada 2019.
Walaubagaimanapun, tambahnya pada tahun 2020 dan 2021, jumlah pelawat dari UAE menurun secara mendadak berikutan pandemik Covid-19 menyebabkan kebanyakan negara termasuk Malaysia telah menutup sempadan negara bagi membendung dan membanteras penularan wabak tersebut.
Walaubagaimanapun, katanya, pihak TM Dubai telah meneruskan usaha-usaha dengan aktiviti promosi secara maya dan fizikal. Usaha secara berterusan ini diharapkan akan kembali meningkatkan jumlah pelawat asing dari UAE.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di Kangar hari ini.
Khairil Nazri mempersembah maklum ini kepada Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Berangkat sama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan anakanda Baginda, Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.
Tuanku Syed Faizuddin selaku Yang DiPertua MAIPs berkenan menyerahkan sumbangan tambahan Tabung Ibnu Sabil MAIPs yang diterima oleh Konsul Muda, Mohd Adham Yahaya dan disaksikan oleh Pegawai Protokolnya, Mohamad Hassan di pejabat konsulat di Dubai, EUA – SM