TVET batu loncatan anak muda adaptasi revolusi perindustrian – Raja Muda Perlis
Keterlibatan anak-anak muda dalam bidang TVET diharap dapat menjadi sebagai batu loncatan untuk masa depan mereka dalam mengadaptasi cabaran seperti Revolusi Perindustrian 4.0, gelombang Artificial Intelligence (A.I.) dan dominasi automasi yang sedang berkembang pesat ketika ini di mana cabaran-cabaran ini amatlah memerlukan sifat modal insan yang terlatih, cekap lagi berdaya saing.
Pada masa yang sama, mereka hendaklah sentiasa mahu mempelajari serta meneroka kemahiran dan ilmu baharu dari masa kesemasa agar kekal relevan dengan keperluan industri.
Selain daripada itu, ianya juga akan dapat mengurangkan isu pengangguran serta dapat meningkatkan taraf hidup keluarga masing-masing.
Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat singgah menyantuni dan menyampaikan sumbangan agihan zakat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) kepada Muhammad Turmidzi Abdul Rahim, 37 Tahun yang tinggal bersama tiga orang ahli keluarga yang lain di Abi dekat Kangar. Beliau merupakan salah seorang daripada penerima ‘Bantuan Sara Hidup Berkala MAIPs’ dan juga ‘Bantuan Baik Pulih Mikro MAIPs’.
Turut hadir mengiringi Tuanku Raja Muda ialah Pengarah Urusan Kumpulan WTC Kuala Lumpur, Dato’ Sri Dr. Hj. Irmohizam Ibrahim.
Untuk rekod, TVET merupakan singkatan bagi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional. TVET adalah proses pendidikan dan latihan yang mempunyai hala tuju pekerjaan dengan penekanan utama terhadap amalan industri. Ia bertujuan untuk menghasilkan tenaga kerja yang kompeten dalam bidang-bidang yang tertentu. Skop TVET perlu berdasarkan standard pekerjaan yang diiktiraf, dengan penekanan kepada komponen praktikal, kemahiran psikomotor dan pendedahan kepada latihan di industri.