Tunai zakat, wakaf, dan sedekah sebelum berakhirnya tahun 2024 – Raja Muda Perlis
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah mengingatkan umat Islam untuk mengambil peluang menunaikan zakat, wakaf, dan sedekah sebelum berakhirnya tahun 2024. Baginda menegaskan kepentingan melaksanakan kewajipan ini, terutamanya bagi mereka yang menyelaraskan bayaran zakat mengikut haul sebelum penutup tahun ini.
Demikian titah Baginda selepas berkenan berangkat mengetuai program MAIPs Peduli di sekitar kawasan Bintong dekat Kangar baru-baru ini.
Pada kesempatan yang sama Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Mohd Nazim Mohd Noor memaklumkan bahawa MAIPs telah melancarkan Kempen Nihayatul Am Zakat, Wakaf, dan Sedekah: Peluang Akhir Tahun 2024 baru-baru ini.
Beliau menyeru umat Islam agar meningkatkan amalan kebajikan dan mengambil pedoman daripada firman Allah dalam Surah al-Baqarah, ayat 195, yang menuntut agar harta diinfakkan di jalan Allah serta menjauhi lembah kehinaan.
Mohd Nazim turut menjelaskan bahawa MAIPs menyediakan pelbagai kemudahan untuk memudahkan masyarakat menunaikan zakat. Antaranya termasuklah pembukaan kaunter bayaran zakat semasa waktu rehat jam 1.00 hingga 2.00 petang, yang turut diperluas sebagai kaunter agihan zakat.
Bagi mereka yang lebih gemar menggunakan teknologi, MAIPs juga menyediakan platform dalam talian melalui laman portal www.maips.gov.my dan bayaran.maips.gov.my yang beroperasi sepanjang masa untuk kemudahan penyumbang.
Sempena program tersebut Tuanku Syed Faizuddin Putra merangkap Tuanku Yang DiPertua MAIPs berkenan untuk menyempurnakan penyampaian sumbangan MAIPs kepada tiga buah keluarga asnaf yang terpilih iaitu Ariffin Hassan, 63 tahun dari Kampung Wang Besar, Kasa Ahmad, 84 tahun dari Kampung Jarak Bintong dan Salleh Senapi, 59 tahun dari Kampung Bohor Janggus.
Masing-masing menerima bantuan wang tunai sebanyak RM700, Kits MAIPs Peduli serta beras fidyah.
Tuanku Raja Muda turut berkenan meluangkan masa berkunjung ke Inapan Desa Permai Homestay yang menawarkan 3 unit homestay, 12 roomstay dan kolam kanak-kanak serta dewasa. Persinggahan ke rumah inap yang beroperasi di Kampung Jarak, Bintong ini adalah tanda sokongan Baginda dalam sama-sama mempromosikan kempen Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024-2025.