Politik

Tun M dakwa Najib hunus keris mahu ‘mandikan dengan darah’

PERTIKAIAN antara dua bekas perdana menteri memasuki episod baharu selepas Tun Dr. Mahathir Mohamad mendakwa Datuk Seri Najib Tun Razak menghunus keris dan mahu mandikannya dengan darah.

Kritikan balas itu dibuat Ahli Parlimen Langkawi itu selepas Najib dilaporkan mentertawakan Dr. Mahathir yang mendakwa bahawa dia tidak mencampuri badan kehakiman.

Najib berkongsi apa yang beliau tahu mengenai campurtangan Dr. Mahathir dalam kes pembatalan pendaftaran UMNO pada 1988.

“Saya rasa Najib tak payah campur tangan dengan tuduhan terhadap saya. Dia harus fokus kes curi duit rakyat berbilion-bilion dalam 1MDB.

“Dia juga perlu bagi perhatian saman Tommy Thomas yang kait dia dengan pembunuhan Altantuya.

“Lagipun, kalau isu yang berlaku 1987/88, Najib boleh ingat yang dia hunus keris dan nak mandikan keris dengan darah orang Cina,” kata Dr. Mahathir di Facebooknya.

Sebuah portal berita hari ini melaporkan Najib mentertawakan Dr. Mahathir selepas Ahli Parlimen Langkawi itu mengingatkan beberapa keputusan mahkamah tidak memihak kepadanya, khususnya apabila UMNO yang dipimpin beliau diisytiharkan tidak sah oleh Mahkamah Tinggi pada 4 Feb 1988.

Keputusan itu dibuat selepas 11 ahli Umno menyaman parti itu pada 1987, menuntut pemilihan parti pada awal tahun sama diisytiharkan tidak mematuhi perlembagaan dan tidak sah.

Hakim Harun Hashim memutuskan Umno tidak sah berdasarkan apa yang didakwa oleh Mahathir sebagai “salah laku kecil oleh segelintir cawangan kecil Umno”.

Najib menyangkal dakwaan Mahathir.

Katanya, peristiwa yang membawa kepada krisis kehakiman itu didokumentasi dengan begitu baik dan Mahathir malah tidak dapat menafikannya.

Menceritakan apa yang dia tahu, Najib berkata pada April 1987, Umno mengadakan pemilihan yang menyaksikan “Pasukan A” Mahathir dicabar oleh “Pasukan B” Tengku Razaleigh Hamzah sehingga berlarutan ke mahkamah.

“Ha ha ha! Mahathir kata pembatalan pendaftaran Umno bukti dia tidak campuri badan kehakiman adalah pembohongan terbesar dalam sejarah kehakiman,” kata Najib kepada FMT.

“Mahkamah memerintahkan penyelesaian di luar mahkamah. Namun, kumpulan Tengku Razaeligh mahu pemilihan baharu diadakan.

“Mahathir pula tidak mahu pemilihan baharu, dan Mahkamah Tinggi mengisytiharkan Umno tidak sah, bermaksud pemilihan 1987 itu terbatal dan tidak sah.”

Najib berkata sebelum rayuan pasukan Ku Li itu dapat didengar, Salleh Abas, yang ketika itu presiden Mahkamah Agung, dan semua Hakim Mahkamah Agung digantung. Salleh kemudian disingkir.

“Inilah permulaan kepada kehancuran sistem kehakiman,” kata Najib.-SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button