Nasional

589 ditahan ingkar SOP

SERAMAI 589 individu ditahan atas pelbagai kesalahan mengingkari prosedur operasi standard (SOP) pencegahan wabak pandemik Covid-19.

Daripada jumlah tersebut, 42 direman sementara empat lagi dijamin dalam Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Antara kesalahan yang paling tinggi dilakukan adalah tidak mengamalkan penjarakan fizikal serta tidak memakai pelitup muka di tempat awam.

Selain itu, individu ditahan turut dikesan cuba merentas negeri dan daerah tanpa kebenaran.

“184 orang tidak menjaga penjarakan fizikal, tidak memakai pelitup muka (130) dan rentas daerah atau negeri tanpa kebenaran (64).


“Selain itu kesalahan lain turut direkodkan seperti keluar rumah tanpa kebenaran (25), ingkar perintah kuarantin (7) dan lain-lain kesalahan (63).”

Demikian kata Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKP Bersyarat (PKPB).

Selain itu, beberapa kesilapan melibatkan pengoperasian perniagaan turut dicatatkan apabila 105 orang dikenakan tindakan kerana melanggar SOP.

“Terdapat 56 buah premis gagal menyediakan peralatan merekod diri atau pelanggan serta 36 dikenakan tindakan kerana beroperasi lebih masa tanpa kebenaran.

“Selain itu, 13 pusat hiburan juga dikenakan tindakan kerana menjalankan aktiviti tanpa kebenaran,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan pihak berkuasa menahan 55 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam Op Benteng semalam.

Menerusi operasi itu juga, sebanyak tujuh buah kenderaan darat serta tiga buah kapal atau bot dirampas.

“Dalam operasi itu, pihak berkuasa turut mengesan 88 buah bot atau kapal di perairan negara melalui 11 aktiviti penglihatan,” ujarnya. – SM

(Visited 30 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button