Yayasan Pelaburan Bumiputra (YPB) hari ini mengumumkan pelantikan Tun Arifin Zakaria sebagai Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Pemegang Amanah YPB berkuat kuasa semalam, 6 Mei 2021.
Tun Arifin adalah Ketua Hakim Negara antara tahun 2011 dan 2017 dan merupakan Ketua Hakim Mahkamah Tinggi Malaya dari tahun 2008 hingga 2011. Sebelum itu, Tun Arifin telah berkhidmat dalam pelbagai jawatan di Pejabat Kehakiman dan juga Jabatan Perundangan Kerajaan Malaysia, termasuk sebagai Majistret, Presiden Mahkamah Seksyen, Peguam Persekutuan dan Peguam Kanan Persekutuan, Penasihat Undang-undang kepada Kementerian Perusahaan Utama dan juga Jabatan Perkhidmatan Awam, serta Timbalan Penggubal Parlimen dan Peguam Persekutuan Kanan Jabatan Hasil Dalam Negeri.
Pada tahun 1992, Tun Arifin dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Malaya, dan dua tahun kemudiannya sebagai Hakim Mahkamah Tinggi Malaya. Setelah itu beliau ditugaskan ke Mahkamah Rayuan Malaysia pada tahun 2002 dan Mahkamah Persekutuan Malaysia pada tahun 2005.
Tun Arifin mengikuti pengajian Undang-undang di University of Sheffield, United Kingdom (UK) dan mendapat ijazah Sarjana Undang-undang (LL.M) dari University College London, UK pada tahun yang sama beliau dipanggil ke English Bar.
YPB juga mengumumkan pelantikan Datin Norazah Razali ke Lembaga Pengarah PNB berkuat kuasa pada 6 Mei 2021.
Datin Norazah merupakan Penasihat Kanan di Boston Consulting Group (BCG), yang berperanan menyokong dan menasihati perniagaan dan organisasi di seluruh Asia Tenggara. Beliau membawa bersamanya lebih daripada 20 tahun pengalaman perundingan strategik dan pengurusan yang mengkhususkan dalam transformasi perniagaan dan organisasi, penstrukturan, strategi yang dipacu pertumbuhan, pengembangan bakat dan kepemimpinan, serta tadbir urus. Beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda Undang-undang (Kepujian) dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari Sekolah Pengurusan, Imperial College London, UK.
“Lembaga Pengarah, pengurusan dan kakitangan PNB mengalu-alukan Tun Arifin dan Datin Norazah ke Lembaga Pengarah PNB dan teruja menantikan sumbangan mereka dalam mengawasi institusi dan aset yang diuruskan bagi pihak 14 juta rakyat Malaysia,” kata Ahmad Zulqarnain Onn, Presiden & Ketua Eksekutif Kumpulan PNB.