Nasional

Tukar label kampit beras: KPDN tidak berkompromi!

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak sama ada individu atau syarikat yang menukar label kampit beras.

Bersama Penguat Kuasa Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) iaitu Kawalselia Padi dan Beras (KPB), KPDN berkolaborasi secara bersepadu membuat pemantauan di seluruh negara dalam memastikan pengguna sentiasa mendapat keterjaminan bekalan beras yang mencukupi dengan harga yang stabil dan terkawal.

Langkah yang diambil oleh KPDN dan rakan strategiknya itu adalah melancarkan OPS JAMIN pada 7 Julai lalu.

Kolaborasi bersepadu di antara Penguat Kuasa KPDN dan Penguat Kuasa Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) iaitu Kawalselia Padi dan Beras (KPB) dilihat dapat meningkatkan kapasiti penguatkuasaan dan pemantauan seluruh negara.

“OPS JAMIN adalah memastikan pengguna sentiasa mendapat keterjaminan bekalan beras yang mencukupi dengan harga yang stabil dan terkawal.

Related Articles

“Kerjasama strategik yang melibatkan penguatkuasaan, perkongsian maklumat dan pemantauan antara agensi di antara KPDN dan KPKM melalui OPS JAMIN berperanan penting dalam mengenalpasti keseluruhan rantaian bekalan pengedaran beras di semua peringkat pemborong hingga ke peringkat peruncit,” kata Timbalan Menteri KPDN, Fuziah Salleh.

Beliau dalam kenyataannya berkata, pihak KPDN memberi jaminan akan menggiatkan pemeriksaan di bawah OPS JAMIN bagi membanteras isu penukaran label kampit beras yang dikhuatiri berlaku susulan pelarasan harga baharu bagi beras putih import (BPI) dan memberikan amaran tegas kepada semua pengilang, pemborong dan peruncit agar sentiasa mematuhi perundangan yang telah ditetapkan bagi mengelakkan dikenakan tindakan tegas.

Beliau berkata, sehingga 2 September, baru-baru ini, sebanyak 1,053 pemeriksaan di bawah OPS JAMIN telah dilaksanakan di seluruh negara hasil kolaborasi bersepadu KPDN dan KPKM yang melibatkan pemeriksaan di peringkat pengilang, pemborong dan peruncit.

Katanya, sejumlah 47 aduan yang diterima melibatkan aduan harga, bekalan dan lain-lain berkaitan beras telah disalurkan kepada KPKM untuk tindakan lanjut.

“Mana-mana orang yang melakukan kesalahan boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalselia Padi dan Beras [Akta 522].

“Jika disabitkan kesalahan boleh didenda sehingga RM25,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tempoh dua tahun atau kedua-duanya bagi orang perseorangan. Manakala bagi syarikat sekiranya sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM50,000,” ujarnya.

Selain itu, Fuziah dalam kenyataan yang sama turut berkata, KPDN ingin memberi amaran keras terhadap mana-mana individua tau syarikat yang berkaitan agar sentiasa mematuhi perundangan yang telah ditetapkan.

“Tindakan undang-undang akan diambil ke atas mana-mana pihak yang didapati membuat perihal dagangan palsu mengenai kandungan, jenis atau nama di bawah Seksyen 5 Akta Perihal Dagangan 2011 [Akta 730],” katanya.

Jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya bagi orang perseorangan manakala bagi syarikat sekiranya sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM250,000.

Sementara itu, sebuah akhbar berbahasa Cina melaporkan, Perbadanan Beras Nasional (Bernas) mengumumkan akan menaikkan harga beras putih import daripada RM2,350 setan metrik kepada RM3,200 berkuat kuasa serta-merta iaitu peningkatan sebanyak 36%.

Syarikat itu berkata, sudah bertahun-tahun menanggung kos kenaikan harga, selepas kenaikan ini, harga beras import akan konsisten dengan harga antarabangsa tetapi ia masih menjadi harga terendah di Asia Tenggara. – SM

BACA Bekalan beras tempatan mencukupi, harga kekal RM2.60 sekilogram

BACA KPKM campur tangan tingkatkan 20 % bekalan beras putih tempatan

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button