Kemalanganpilihan

Tujuh pesilat cedera Proton Exora langgar belakang lori

Tujuh pesilat adalah antara lapan individu yang mengalami kecederaan ringan selepas kereta Proton Exora dinaiki berlanggar dengan sebuah lori di Kilometer 221 Lebuhraya Utara-Selatan arah Selatan awal pagi tadi.

Dalam kejadian pukul 5.10 pagi itu kesemua mangsa ahli Silat Olahraga Ledang, Tangkak, Johor dalam perjalanan pulang selepas mengharungi pertandingan di Ara Damansara, Kuala Lumpur.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Supt Arshad Abu berkata, siasatan awal mendapati kereta Proton Exora dipandu di laluan sebelah kiri telah melanggar belakang sebuah lori.

Bagaimanapun katanya, lori berkenaan tidak dapat dikenal pasti kerana meneruskan perjalanan sebaik dilanggar dari belakang.

“Ketika kejadian semua penumpang berusia antara 16 hingga 21 tahun sedang tidur.

“Kesemua mangsa yang cedera telah dibawa ke Hospital Alor Gajah untuk mendapat rawatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Terdahulu dalam kejadian berasingan kira-kira pukul 2.45 pagi Arshad berkata, tiga individu cedera selepas sebuah lori jenis Hino dengan muatan air batu dilanggar dari belakang oleh sebuah bas ekspres dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Singapura di KM 220 di lebuh raya yang sama arah ke selatan.

Lori muatan ais batu terbalik di tepi lebuh raya selepas dilangar dari belakang oleh sebuah bas ekspres di KM220 Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan.

Menurutnya, mereka yang cedera membabitkan pemandu lori berkenaan dan dua penumpang bas.

“Sewaktu kejadian bas dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Singapura berada di laluan paling kiri.

“Bas cuba mengelak lori berkenaan yang masuk ke lorong kiri dari laluan kecemasan namun tidak dapat mengelak daripada melangar bahagian sebelah kanan lori itu,” ujarnya.

Jelasnya, akibat pelanggaran itu lori berkenaan terbalik ke dalam longkang di sebelah kiri lebuh raya itu.

Katanya, kesemua mangsa yang cedera ringan telah dihantar ke Hospital Alor Gajah untuk mendapatkan rawatan.

Beliau berkata, kes tersebut disiasat mengikut Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalulintas Jalan 1959. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button