TUDM terbangkan dua bayi untuk dapatkan rawatan di IJN
Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) melakukan penerbangan ihsan membawa dua bayi lelaki dari Kota Kinabalu, Sabah untuk menjalani pembedahan segera dan rawatan lanjut di Institut Jantung Negara (IJN) di Kuala Lumpur.
Penerbangan ihsan itu menggunakan pesawat pengangkut A400M dari No 22 Skuadron, Pangkalan Udara Subang.
Penerbangan itu berlepas dari Kota Kinabalu pada pukul 6.30 petang dan tiba di Pangkalan Udara Subang pada pukul 9 malam.
“Kedua-dua bayi berkenaan, Andreus Steve Hendru yang berusia sebulan dan Fadhli Arman Iman Hamizan, 2 bulan, sebelum ini dirawat di Hospital Wanita dan Kanak-kanak Sabah.
“Andreus Steve mengalami masalah jantung dan buah pinggang, manakala Fadhli Arman mengalami masalah jantung dan saluran kencing,” demikian menurut TUDM dalam satu kenyataan.
Kenyataan itu memberitahu, pesawat diterbangkan oleh Mejar Khairul Ikhmal Ishak dan dibantu pembantu juruterbang, Kapten Mohd Amir Shahrin bersama empat kru.
“Turut mengiringi bayi dalam penerbangan ini adalah seorang pegawai perubatan, seorang jururawat dan juga ibu kepada bayi masing-masing.
“Pada Selasa lalu, TUDM turut melaksanakan penerbangan ihsan membawa tiga bayi yang mengalami masalah jantung daripada Kuching, Sarawak ke Subang,” kata kenyataan itu.
Pesawat tersebut turut membawa sampel ujian COVID-19 daripada Tawau, Kota Kinabalu dan Labuan untuk diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan. – SM