Luar Negara

Tubuh balai polis China di New York, dua lelaki ditahan pihak berkuasa AS

PIHAK  berkuasa Amerika Syarikat (AS) menahan dua lelaki kerana menubuhkan ‘balai polis’ China di New York.

Selain itu, ia mendakwa puluhan pegawai keselamatan China untuk kempen memantau dan mengganggu penentang negara itu yang berpangkalan di AS.

Penangkapan dan pertuduhan menyasarkan “skim penindasan transnasional yang menyasarkan ahli komuniti diaspora Cina di New York City dan tempat lain di Amerika Syarikat,” kata Breon Peace, peguam daerah persekutuan di Brooklyn.

Kedua-dua lelaki yang ditahan itu dikenali sebagai Harry Lu Jianwang, 61, dan Chen Jinping, 59, yang menurut pegawai AS membuka pejabat di Chinatown, Manhattan, atas arahan Kementerian Keselamatan Awam (MPS), pasukan polis negara China, tahun lalu.

Pejabat itu yang tidak berdaftar seperti yang diperlukan dengan Kerajaan AS, melaksanakan perkhidmatan seperti memperbaharui lesen pemandu yang dikeluarkan China, kata Peace.

Tetapi ia juga mengambil peranan dalam membantu mengesan dan mengganggu pelarian dalam buruan dari Republik Rakyat China (PRC), katanya.

Kedua-duanya adalah yang pertama ditangkap di mana-mana atas dakwaan kempen China untuk menubuhkan ‘balai polis’ rahsia di negara di seluruh dunia, menurut Peace.

Kanada dan beberapa kerajaan Eropah bertindak keras terhadap operasi sama.

Lu dan Chen didakwa bertindak sebagai ejen tidak berdaftar kerajaan asing dan menghalang tugas kerana memusnahkan bukti komunikasi mereka dengan pegawai China.

Tahun lalu, kumpulan hak asasi manusia berpangkalan di Sepanyol, Safeguard Defenders pertama kali mendedahkan ‘balai polis’ seumpamanya di seluruh dunia.

Ia sering beroperasi dengan sedikit atau tiada petunjuk mengenai kewujudannya – walaupun pegawai AS berkata, pejabat sama di Manhattan pernah dilawati oleh pegawai dari konsulat China di New York.

Menurut Safeguard Defenders, ‘balai polis’ itu terbabit dalam mengenakan tekanan kepada warga China untuk pulang ke negara asal bagi berdepan pertuduhan jenayah.

Kanada juga sudah mengenal pasti dan menutup beberapa kemudahan sama di Montreal dan tempat lain.

Oktober lalu, pihak berkuasa Belanda juga berkata, pihaknya menyiasat laporan mengenai dua warga China melakukan operasi polis di Amsterdam dan Rotterdam.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button