Ekonomi

TREVO bekerjasama dengan Allianz General bagi melancarkan insurans TREVO Shield untuk pasaran P2P

TREVO Malaysia dan Allianz General Insurance Company (Malaysia) Berhad (Allianz General) bekerjasama melancarkan TREVO Shield, pelan insurans pertama di Malaysia yang direka khas untuk melindungi pemilik kereta persendirian yang terlibat dalam perkongsian kenderaan rakan setara (P2P) demi menjana pendapatan tambahan.

Berikutan maklum balas daripada Hos TREVO yang meminta agar disediakan perlindungan, sokongan dan manfaat yang lebih signifikan serta bagi memacu skala Hos dan TREVO secara mampan, TREVO telah membangunkan TREVO Shield.

Ia merupakan sebuah penyelesaian perlindungan yang tertumpu pada perlindungan teras Allianz General, yang menaja jamin perkongsian kereta P2P khasnya menerusi insurans liabiliti pihak ketiga yang disediakan oleh syarikat penanggung insurans terkemuka tersebut, yang sekali gus menyediakan perlindungan yang lebih baik kepada Hos TREVO.

TREVO Shield menawarkan tiga pelan – Shield 60, Shield 65 dan Shield 75 – yang menawarkan fleksibiliti kepada hos untuk membuat pilihan berdasarkan peringkat perlindungan yang diperlukan.

Menerusi TREVO Shield, Hos TREVO menerima perlindungan terhadap Liabiliti Pihak Ketiga jika Tetamu menyebabkan kecederaan atau kerosakan kepada pihak ketiga ketika memandu kereta Hos TREVO.

Pelan perlindungan tersebut turut menyediakan pilihan tambahan termasuk manfaat Diskaun Tanpa Tuntutan (NCD); liputan terhadap kerosakan pada badan, cat dan bumper kereta milik Hos; perlindungan kerugian akibat kebakaran dan kecurian serta bantuan menarik dan pembaikan di tepi jalan, di samping manfaat lain.

Sementara itu, TREVO Shield menyediakan liputan insurans kepada Tetamu yang memilih perlindungan Pengecualian Kerosakan Perlanggaran Super (SCDW) yang mengehadkan liabiliti Tetamu kepada 10 peratus bagi kos pembaikan kerosakan kenderaan sekiranya berlaku kemalangan.

“Sejak TREVO dilancarkan pada tahun 2020, kami melihat pertumbuhan ketara dalam jumlah ahli dan senaraian kami yang kini direkodkan melebihi 5,000 buah kereta dan 130 model di platform TREVO.

“Dari kawasan liputan awal di Lembah Klang dan seterusnya berkembang ke Pulau Pinang, Kota Kinabalu, Johor Bahru, Ipoh dan Seremban, semakin banyak pihak menerima pasaran perkongsian kereta P2P.

“Selepas lebih 100,000 perjalanan yang disempurnakan TREVO, rangka kerja keselamatan dan keyakinan pasaran telah mempamerkan hasil seperti yang dirancang. Kini, menerusi tambahan TREVO Shield, kami akan terus menambah baik dan memberikan tumpuan penting terhadap aspek keselamatan dan keyakinan,” ujar Susan Teoh, Pengurus Besar TREVO Malaysia.

Beliau menambah, “Sebelum ini, TREVO telah bekerjasama dengan Allianz General untuk memperkenalkan perkhidmatan berkaitan insurans bagi ahli-ahli kami, dan kami memutuskan untuk mempertingkatkan lagi usaha sama yang terjalin dengan melancarkan pelan baharu ini susulan permintaan pasaran yang diterima.

“Ekonomi perkongsian telah menunjukkan pertumbuhan yang signifikan sejak beberapa tahun ini dan kami peka akan cabaran yang dihadapi oleh peserta sektor ini, khasnya berkaitan aspek peraturan yang dikenakan oleh pihak berkuasa.

‘Sungguhpun demikian, industri insurans sentiasa fleksibel dalam menangani faktor risiko dan landskap ekonomi yang pesat berubah dan tetap melindungi semua pihak yang terlibat dalam aktiviti perkongsian aset dan liabiliti.”

TREVO sebelum ini telah bekerjasama dengan Allianz General untuk menyediakan perkhidmatan TREVO Guard, yang mana ahli-ahli TREVO boleh mendaftar atau memperbaharui polisi insurans kereta mereka melalui aplikasi TREVO.

Bagi TREVO Shield, pasukan TREVO dan Allianz General mengambil masa lebih setahun untuk membangunkan dan memperhalusi pelan berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Allianz Malaysia Berhad, Sean Wang, berkata: “Sebagai penyedia insurans, peranan kami dalam menyediakan penyelesaian perlindungan adalah mengikut keperluan dan jangkaan pelanggan yang sentiasa berubah-ubah. Ia juga bermakna, kami mengenal pasti jurang perlindungan yang wujud serta meneroka kaedah baharu untuk membangun dan menyampaikan produk-produk yang memenuhi kehendak pelanggan, dan pada masa sama, bermatlamat mempertingkatkan pengalaman insurans pelanggan.”

“Jalinan kerjasama seperti yang ada bersama TREVO Malaysia lebih berkesan apabila setiap rakan usaha sama berkongsi matlamat yang sama iaitu mengutamakan pelanggan. Oleh demikian, kami amat teruja untuk memulakan lembaran baharu usaha sama dengan TREVO Malaysia dan menyampaikan produk inovatif seperti TREVO Shield, yang menyediakan perlindungan bermakna selari dengan keperluan Hos dan Tetamu TREVO, serta menawarkan nilai nyata bagi pengalaman perkongsian kereta yang lebih lancar,” tambah Sean yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Allianz General. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button