Trend kes muflis menurun, tindakan kebankrapan jalan terakhir bagi institusi kewangan
DALAM surat terbuka kepada editor pada hari Jumaat (15 Julai), gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus menepis dakwaan kaitan antara kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) Malaysia dan peningkatan kebankrapan individu di negara ini. Dia mengatakan bahawa bilangan kebankrapan individu di negara ini telah menurun sejak 2016.
Jumlah golongan belia yang berumur kurang daripada 35 tahun yang muflis juga mengalami penurunan sebanyak 14% daripada jumlah kes muflis antara Januari hingga Mei 2022 iaitu 24.9%.
Shamsiah berkata “BNM mendapati peminjam telah beransur-ansur keluar daripada program bantuan bayaran balik pinjaman dan trend bayaran balik pinjaman sistem perbankan juga mencatatkan penambahbaikan pada Suku Pertama 2022, di mana trend ini meningkat kepada purata 92% daripada tahap bayaran balik pinjaman sebelum pandemik (Suku Pertama 2020).”
“Peminjam boleh mendapatkan khidmat nasihat daripada Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) untuk dipertimbangkan di bawah Program Pengurusan Kredit (PPK). Program ini dapat membantu mereka untuk menstrukturkan semula pinjaman sedia ada dan dapat mengelakkan mereka daripada dikenakan tindakan undang-undang seperti kebankrapan atau lelongan harta.” tambah beliau.
Selain itu, tindakan kebankrapan turut diambil oleh pemiutang lain yang berada di luar bidang kuasa BNM, seperti syarikat pemberi kredit, pembekal dan sebagainya.
Sehubungan itu, kementerian akan berusaha untuk memastikan peminjam/penghutang mendapat layanan yang sama melalui penggubalan Akta Kredit Pengguna (AKP) dan penubuhan Lembaga Pemantauan Kredit Pengguna di bawah Kementerian Kewangan serta penetapan standard dan garis panduan yang sekata berkaitan dengan Prinsip Layanan Adil kepada pengguna.
Untuk pertanyaan lanjut atau bagi mendapatkan perkhidmatan AKPK, orang ramai boleh melayari laman sesawang AKPK (www.akpk.org.my) atau membuat temu janji melalui Borang Permohonan Perkhidmatan AKPK (services.akpk.org.my). -SM