Sukan

Enam negara baharu sahkan penyertaan

Festival Pencak Silat Dunia ke-19

Kejuaraan Pencak Silat Dunia Edisi ke-19 terus menarik perhatian apabila enam lagi buah negara mengesahkan penyertaan pada kejohanan yang akan berlangsung di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) dari 21 hingga 31 Julai ini.

Pengerusi bersama Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, dengan penyertaan terbaharu itu menjadikan sebanyak 40 buah negara akan memeriahkan festival yang akan berlangsung selama 10 hari itu.

Menurutnya, enam buah negara itu hanya menghantar dua hingga tiga peserta dan tiga daripadanya ialah Surinam, Amerika Syarikat (AS) dan Mesir.

Sehubungan itu beliau berkata, Melaka sudah bersedia menerima kedatangan lebih daripada 1,500 peserta yang akan menyertai festival itu yang julung-julung kali pernah diadakan di negeri ini.

Menurutnya, bersempena festival tersebut turut diadakan ialah Kejohanan Silat Dunia iaitu acara silat terbesar yang menampilkan pesilat antarabangsa bagi merebut gelaran juara dunia.

“Persiapan untuk festival ini setakat ini berjalan lancar dengan segala persiapan rapi telah dibuat di MITC bagi memastikan penganjuran terbaik.

“Penganjuran kejuaraan ini juga secara tidak langsung bakal menjadi tarikan pelancongan baharu dalam kalangan peserta dengan kehadiran kira-kira 1,500 orang daripada 40 buah negara,” ujarnya semalam.

Festival tersebut adalah anjuran bersama kerajaan negeri dan Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA).

Ab. Rauf berkata, sepanjang 10 hari kejuaraan itu berlangsung turut diadakan forum dan dialog berhubung usaha untuk mempertingkatkan lagi sukan tersebut di persada dunia.

Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam dijangka akan merasmikan festival tersebut pada 25 Julai nanti.

Antara negara yang akan mengambil bahagian pada festival terrsebut ialah Uzbekistan, Singapura, Thailand, Indonesia, Filipina, India, Pakistan dan Kazakhstan.

Festival berkenaan sepatutnya diadakan pada 2020 dengan Sarawak sebagai lokasi penganjuran, sebelum ditunda berikutan pandemik Covid-19. – SM

(Visited 123 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button