Politik
Trending

Tok Mat yakin PN boleh usahakan titah Agong

KERAJAAN Perikatan Nasional diyakini mampu melaksanakan dasar untuk membendung penularan wabak Koronavirus (Covid-19) sekiranya Perintah Darurat tidak dilaksanakan.

Namun usaha tersebut perlu mendapat sokongan semua pihak supaya pembendungan wabak yang memasuki gelombang ketiga ini dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

Hal demikian selepas Yang di-Pertuan Agong menzahirkan pandangan terhadap keberkesanan kerajaan sedia ada dalam menangani pandemk tersebut sebelum ini.

Malah, Agong juga bertitah rakyat secara keseluruhan sudahpun menunjukkan semangat juang sejak pandemik global itu menular dalam negara sejak Mac lalu.

“Patik yakin Kerajaan Perikatan Nasional akan mengusahakan apa jua yang sewajarnya untuk menterjemahkan keputusan bijaksana ini.

“Keputusan ini sewajarnya mendorong semua pihak tampil demi kepentingan nasional untuk bersama-sama Kerajaan dalam memerangi pandemik global ini.”

Demikian kata Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menerusi satu kenyataannya yang dimuatnaik dalam Facebook malam tadi.

Beliau berkata demikian susulan Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah menitahkan tiada keperluan melaksanakan Perintah Darurat.

Baginda bertitah demikian selepas menerima persembah cadangan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menghadapnya di Istana Abdul Aziz di Pekan, Pahang pada Jumaat lepas.

Susulan penerimaan cadangan tersebut, Al Sultan Abdullah memanggil sidang Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja Melayu yang berlangsung petang semalam di Istana Negara.

Tambah Mohamad, keputusan yang dicapai dalam mesyuarat tersebut juga memperlihatkan kepentingan kedudukan Institusi Raja-Raja Melayu dan Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, Agong telah memainkan peranan penting dan mengiktiraf sumbangan luar biasa pasukan barisan hadapan yang bekerja keras melawan Covid-19.

“Kebijaksanaan dan hikmah Tuanku dalam perkara ini meyakinkan patek bahawa institusi Raja mempunyai peranan Perlembagaan yang sangat penting dalam pentadbiran negara ini.

“Untuk kesekian kalinya, Tuanku serta Raja Raja Melayu terus mengutamakan rakyat dan kebajikan mereka dengan sebaik-baiknya.

“Tuanku dan Raja-Raja Melayu melalui keputusan ini telah mempertahankan Perlembagaan, mengiktiraf kerja keras dan sumbangan luar biasa petugas kesihatan dan barisan hadapan negara serta mengutamakan kepentingan rakyat kebanyakan,” katanya.

Pagi tadi di Putrajaya berlangsung pertemuan Muhyiddin dan ketua-ketua parti bagi mendapatkan sokongan supaya Belanjawan 2021 dapat diluluskan.

Belanjawan atau Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan itu dijadual dibentangkan di Parlimen oleh Menteri Kewangan pada 6 November 2020.

Selepas itu, satu sidang Mesyuarat Khas Kabinet diadakan dan dipengerusikan beliau bermula pukul 11 pagi tadi. – SM

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button