Acara

Tingkatkan pencapaian peribadi dan universiti – Raja Muda Perlis

PAUH PUTRA 9 Nov. – Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyeru agar lepasan graduasi Universiti Malaysia Perlis meningkatkan kepakaran dan pencapaian dalam pelbagai bidang di samping mempromosikan program dan pencapaian UniMAP dalam kalangan golongan profesional yang merupakan salah satu usaha meningkatkan prestij universiti ini.

Baginda bertitah, rangkaian alumni perlu diperkasakan dengan tujuan menjadi pemudah cara dalam hubungan antara UniMAP dan rangkaian industri, sekaligus mewujudkan peluang pekerjaan, dan latihan amali khususnya kepada pelajar tahun akhir.

“Alumni juga perlu melibatkan diri dengan berada dalam jawatankuasa penasihat yang menjurus kepada penasihatan dasar dan program universiti supaya sentiasa terkini mengikut landasan dan keperluan pasaran pekerjaan”, titah Baginda lagi.

Demikian titah Tuanku Syed Faizuddin Putra merangkap Tuanku Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) ketika menyempurnakan sidang pertama Istiadat Konvokesyen Ke-19 UniMAP yang berlangsung di Dewan Ilmu, UniMAP, Kampus Pauh Putra.

Keberangkatan tiba Baginda disambut oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Tan Sri Datuk Sri Sufri Hj. Mhd Zin dan Naib Canselor Prof. Datuk Ts. Dr. Zaliman Sauli serta pengurusan tertinggi universiti.

Seramai 386 siswazah telah terlibat pada sidang pertama ini iaitu daripada Pusat Pengajian Siswazah (PPS) seramai 82 graduan Doktor Falsafah dan 103 graduan Sarjana serta selebihnya Graduan Sarjana Muda daripada Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Mekanikal (FKTM).

Datuk Profesor Dr Ali Yeon Md Shakaff dianugerahkan Profesor Emeritus dan Cheah Hun Wah menerima Ijazah Kehormat Doktor Kejuruteraan.

Tuanku Syed Faizuddin Putra turut menzahirkan bahawa UniMAP sentiasa mengalu-alukan Alumni untuk sentiasa kembali ke kampus berkongsi ilmu kepakaran, pengalaman dan memberi pandangan masing-masing melalui bengkel atau kuliah sekaligus memperkayakan pengalaman akademik dan laluan kerjaya para pelajar UniMAP.

GALERI FOTO

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button