Nasional

Tingkatkan dan teruskan tatakelola, hapus ketirisan, pembaziran

AGENDA untuk meningkatkan tatakelola di negara ini akan diteruskan dalam menghapuskan ketirisan dan pembaziran, kata Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, tatakelola juga merupakan faktor penting untuk menarik pelaburan dan meningkatkan persekitaran perniagaan malah menjaga keselamatan rakyat dan sempadan negara.

PERDANA Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dengan ketua-ketua jabatan dan agensi penguat kuasa berkaitan jenayah kewangan di Kementerian Kewangan petang semalam. – GAMBAR FACEBOOK

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, perkara itu ditekankan semasa pertemuan beliau dengan ketua-ketua jabatan dan agensi penguat kuasa berkaitan jenayah kewangan di Kementerian Kewangan.

“Adalah dianggarkan negara mengalami kerugian hasil sebanyak RM5 bilion setahun manakala jenayah kewangan yang menyumbang kepada ekonomi bayangan menyebabkan kehilangan hasil cukai dianggarkan sebanyak RM70 bilion setahun.

“Memandangkan trend jenayah kewangan yang semakin kompleks, saya arahkan kesepaduan dan kerjasama agensi kerajaan dengan lebih proaktif dan efektif,” katanya di Facebook.

Dalam pada itu, Perdana Menteri Anwar juga berkata, amalan perundangan berkaitan pengurusan aset yang disita dan dilucut hak akan ditambah baik sejajar dengan tadbir urus terbaik antarabangsa.

Justeru beliau berkata, Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) perlu menambah baik operasi pemantauan untuk memastikan usaha ini terus dipertingkatkan.

Sementara itu, Perdana Menteri Anwar turut merakamkan penghargaan kepada semua anggota agensi berkaitan yang bertungkus lumus memerangi dan menumpaskan jenayah kewangan selain menyeru kerjasama dan penglibatan rakyat untuk turut serta dalam usaha ini.

“Adalah menjadi harapan besar buat saya dan seluruh rakyat Malaysia agar kesemua warga dan anggota agensi untuk meneruskan usaha murni ini dan melaksanakan amanah dengan penuh integriti demi mengangkat martabat negara,” katanya. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button