Nasional

Tingkat kestabilan ekonomi, kesejahteraan rakyat – PM

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berharap segala usaha kerajaan memastikan kestabilan ekonomi serta kesejahteraan rakyat dapat dipertingkatkan sehingga ke tahun seterusnya.

Perdana Menteri berkata, ekonomi negara kini berada pada landasan tepat ke arah pemulihan berdasarkan pembukaan semula lebih 90 peratus sektor ekonomi serta aktiviti sosial.

Katanya, pemulihan itu disokong oleh kadar vaksinasi yang tinggi dengan hampir keseluruhan populasi sudah mendapatkan imunisasi terbabit.

“Dengan momentum pemulihan, Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) berada pada landasan kukuh untuk terus berkembang antara 5.5 dan 6.5 peratus pada 2022. Ia selari dengan unjuran oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) pada 6.0 peratus dan Bank Dunia pada 5.8 peratus.

“Pertumbuhan ini akan dipacu terutamanya oleh Bajet 2022 yang mengembang bernilai RM332.1 bilion, normalisasi dalam aktiviti ekonomi dan sosial,” katanya dalam ucapan sempena Tahun Baharu Cina yang disambut hari ini.

Tegasnya, semua usaha itu sejajar dengan hasrat kerajaan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) mencapai status negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2025 menerusi pelbagai inisiatif digariskan.

Perdana Menteri turut mengingatkan Keluarga Malaysia supaya tidak melupakan prosedur operasi standard (SOP) dalam membendung penularan wabak COVID-19 ketika merayakan Tahun Baharu Cina.

Katanya, peluang yang dinikmati merayakan sambutan itu diharap dapat mengerat dan mengukuhkan lagi hubungan kekeluargaan.

“Selepas dua tahun menyambut tahun baharu dari kejauhan dan terpisah dengan keluarga, tahun ini masyarakat Tionghua dapat kembali meraikannya bersama ibu bapa dan keluarga tercinta.

“Terima kasih kepada seluruh masyarakat Cina yang berganding bahu dengan kaum lain seperti Melayu, India, Kadazan, Dusun, Murut, Iban, Bidayuh dan Melanau sebagai sebuah Keluarga Malaysia,” katanya.

Beliau berharap tahun ini akan membawa kemakmuran, kebahagiaan dan kesihatan baik untuk seluruh Keluarga Malaysia.

“Selamat Tahun Baharu Cina saya ucapkan kepada seluruh Keluarga Malaysia yang berketurunan Tionghua,” katanya.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button