Tindakan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming mengumumkan peruntukan RM5.21 juta dalam satu program di Kuala Kubu Bharu menjelalan pilihan raya kecil (PRK) Parlimen kawasan itu disifatkan sebagai tidak beretika.
Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) menyifatkan melalui Jawatankuasa Pemandunya dalam satu kenyataan menggesa kerajaan menghentikan amalan tersebut.
Katanya, ia dilihat bercanggah dengan prinsip perlawanan politik atas padang yang sama rata dalam pilihan raya.
Menurut Bersih, pelanggaran terhadap etika pilihan raya bersih dan adil oleh parti kerajaan sendiri akan menghakis keyakinan rakyat terutama pengundi terhadap sistem pilihan raya serta proses demokrasi negara.
“Bersih melihat pengumuman tersebut telah melanggar garis panduan Larangan 3C (tidak bersyarat, tidak berkempen dan tidak bawa calon yang telah digariskan Bersih sejak Pilihan Raya Negeri 2023 yang lepas kepada kerajaan bukan sementara, seperti Kerajaan Persekutuan dan negeri dalam konteks pilihan raya kecil (PRK).
“Seperti dilaporkan media, Kor Ming turut menyeru penduduk supaya balik kampung dan meminta mengundi parti yang ‘baik, prihatin, progresif’ walaupun tidak menyebut mana-mana parti politik dalam kerajaan.
“Peruntukan khusus ini dilihat telah melanggar prinsip ‘tidak berkempen’ yang mengaitkan peruntukan kerajaan dengan sokongan politik. Tindakan ini juga boleh dianggap sebagai usaha membeli undi dan menggunakan pengaruh yang tidak wajar kerajaan terhadap pengundi yang bakal mengundi undi pada 11 Mei ini,” demikian menurut kenyataan itu.
Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan baru-baru ini memperuntukkan RM5.21 juta kepada Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) bagi menambah baik infrastruktur awam di bawah kelolaannya untuk kesejahteraan penduduk.
Menurut Bersih, satu garis panduan yang menyeluruh terkait dengan etika kerajaan bukan sementara dan kerajaan sementara semasa tempoh pilihan raya perlu diwujudkan serta dikanunkan sebagai undang-undang.
Ini bagi memastikan tidak berlakunya salah guna sumber kerajaan dalam sebarang pengumuman peruntukan dan dasar kerajaan yang diamanahkan rakyat.
“Bersih akan terus komited dan konsisten tanpa gentar dan berpihak kepada mana-mana parti politik dalam memantau penjalanan pilihan raya di negara ini termasuk di PRK Kuala Kubu Bharu tidak lama lagi.
“Bersih akan menghantar pemantau pilihan raya ke PRK Kuala Kubu Bharu bagi memantau keseluruhan proses pilihan raya agar tidak berlaku pelanggaran apa bentuk kesalahan pilihan raya serta proses berlaku dengan penuh adil dan bersih,” demikian menurut kenyataan itu. – SM