AgamaNasional

Tilmiz Fahmi Johan Akademi Qurra’ musim pertama

TILMIZ Fahmi atau Muhamad Nurfahmi Zainal, 23, dinobatkan sebagai Johan Akademi Qurra’ musim pertama terbitan TV AlHijrah. Berasal dari Negeri Sembilan, Tilmiz Fahmi turut membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM25,000.

Sementara itu, Tilmizah Nooraini atau Nooraini Abdullah, 40, diumum sebagai Naib Johan yang membawa pulang hadiah RM15,000 manakala Tilmizah Maghfirah atau Nik Maghfirah Nik Abd Rahman Zaki, 19 mendapat tempat ketiga yang akan membawa pulang hadiah RM10,000.

Berkongsi perasaan, Tilmiz Fahmi memberitahu dia pada mulanya tidak menjangka akan kemenangan ini melihatkan saingan sengit dari rakan peserta lain.

“Saya memang tidak jangka akan membawa gelaran Johan Akademi Qurra’ musim pertama. Bagaimanapun dengan kemenangan ini saya mahu memperluaskan lagi pengetahuan al-Quran kepada mereka di luar sana.

“Saya juga ingin berterima kasih kepada ibu bapa, keluarga dan mereka yang disekeliling saya. Selain itu pihak produksi Akademi Qurra’ selama lapan minggu ini banyak memberi tumpuan kepada tahap kesihatan peserta. Bagi saya suara yang sedap adalah melalui tubuh badan yang sihat.

Mengenali ilmu bertarannum  seawal umur enam tahun, tambah anak bongsu dari enam adik beradik ini juga akan menggunakan wang kemenangan ini bagi membantu anak-anak muda diluar sana dalam menguasai al-Quran.

“Wang kemenangan ini akan diberikan kepada ibu bapa dan selebihnya akan saya gunakan dalam membantu anak-anak muda di luar sana. Lebih mulia apabila kita juga akan bertemu dengan bulan Ramadan tidak lama lagi,” katanya.

Minggu terakhir Akademi Qurra’ yang menyaksikan lima peserta ini turut mengumumkan Tilmiz Zuhdi atau Muhammad Nur Zuhdi Mohd Daud, 25 danTilmiz Akasyah atau Tilmiz Akasyah atau Muhammad Akasyah Md Yunos, 18 berada di kedudukan keempat dan kelima.

Melihat peningkatan prestasi peserta sebagai elemen penting dalam pertandingan ini, menurut juri tetap Akademi Qurra’ Ustaz Ahmad Tarmizi Abdul Rahman, secara keseluruhannya markah yang diperoleh peserta pada pentas akhir cukup mengejutkan.

“Ada peserta yang dianggap boleh mendapat markah tertinggi namun gagal diterjemahkan dan sebenarnya inilah realiti sebuah pertandingan.

“Dalam tempoh beberapa minit itulah yang diberi itu adalah medan mereka untuk dinilai, sepanjang lapan minggu ini masih ada peserta yang gagal menguasai tajwid dan kemahiran mengolah tarannum dengan baik,”katanya.

Melihat sambutan yang baik terhadap program yang julung kali diadakan ini, menurut Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris, beliau tidak menolak ada pembaharuan yang akan dibuat dalam memastikan program ini kekal relevan untuk tempoh panjang.

“Dari minggu pertama kita melihat peningkatan tontonan, apa yang boleh saya katakana penonton sendiri suka melihat perubahan yang ditunjukkan peserta. Malah saya jangka Akademi Qurra’ boleh menjadi antara program yang mendapat rating tertinggi terbitan TV AlHijrah.

“Bagaimanapun kami akan terus berbincang dalam mendapatkan maklum balas untuk menghasilkan sesuatu yang lebih baik. Pastinya dengan sambutan yang diterima program ini akan kembali lagi untuk musim kedua,” jelasnya.

Artikel berkaitan > Tilmiz Saifullah, Tilmizah Nazirah gagal ke peringkat akhir Akademi Qurra’

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button