Tiktoker Rayyan ditangkap polis. Ini ceritanya
KUALA LUMPUR: Pemilik akaun TikTok, Rayyan Wong ditahan pada Rabu bagi siasatan lanjut berkaitan kandungan berunsur penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong, Pemangku Sultan Johor dan Perdana Menteri yang dimuat naik menerusi media sosial berkenaan baru-baru ini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, sebelum itu laporan dibuat pegawai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berkaitan kandungan terbabit.
“Siasatan lanjut dijalankan kemudiannya membawa kepada tangkapan suspek.
“Pegawai itu melihat kandungan terbabit yang dimuat naik pada jam 4.30 petang oleh pemilik akaun TikTok terbabit di aplikasi TikTok,” katanya pada Rabu.
Katanya, kandungan terbabit didapati bersifat bersifat jelik yang dipercayai dengan niat untuk menyakitkan hati, memperlekeh dan menghina institusi diraja.
“Ia juga turut didapati membangkitkan kebencian serta provokasi terhadap Institusi Diraja yang berpotensi mengganggu-gugat keselamatan awam dan keharmonian negara.
“Selain tangkapan, polis juga turut merampas telefon pintar dipercayai milik suspek,” katanya.
Menurutnya, siasatan masih dijalankan dengan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998,” katanya.