Sukan

Tiga wakil negara ke suku akhir, Lee Zii Jia tersungkur

Kejohanan Badminton Dunia 2022 di Tokyo, Jepun

Tiga daripada tujuh wakil negara melangkah ke suku akhir ketika jaguh perseorangan negara, Lee Zii Jia tersungkur di pusingan ketiga Kejohanan Badminton Dunia 2022 di Tokyo, Jepun hari ini.

Zii Jia yang muncul juara Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2022 Mei lalu tunduk kepada pemain bukan pilihan dari China, Zhao Ju Peng 19-21, 21-11, 19-21 dalam tempoh 65 minit.

Ini bermakna tiada seorang pun perseorangan lelaki bakal beraksi di suku akhir esok sebaliknya cabaran Malaysia dipertaruhkan kepada dua beregu campuran dan satu beregu lelaki.

Beregu nombor satu negara yang juga pilihan keenam Aaron Chia-Soh Wooi Yik tidak berdepan tugas getir sewaktu menundukkan rakan senegara Goh Sze Fei-Nur Izzuddin 21-17-21-19.

Bagaimanapun, pemenang  pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020 dan emas Sukan SEA Manila 2019 akan berdepan pilihan ke-10, Kim So Yeong-Kong Hee Yong dari Korea Selatan yang melangkah suku akhir mengetepikan rakan senegara Jeong Na Eun-Kim Hye Jeong 21-19, 21-19.

Beregu campuran Goh Soon Huat-Lai Shevon Jemie selaku pilihan ke-11 melangkah ke suku akhir selepas menewaskan pasangan dari Perancis, Thom Gicquel-Delphine Delrue 21-14, 21-4.

Di peringkat suku akhir Soon Huat-Shevon Jemie akan berdepan tugas getir berdepan gandingan Yuta Watanabe-Aris Higashino dari Jepun selaku pilihan ketiga yang berjaya melepasi saingan pusingan ketiga menundukkan pasangan dari Perancis, Robin Tabeling -Selena Piek 21-12, 21-19.

Tan Kian Meng-Lai Pei Jing turut bergaya ke suku akhir.

Turut menjejak langkah ialah gandingan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing yang juga pilihan kelapan menewaskan gandingan Kyohei Yamashita- Naru Shinoya dari Jepun dengan keputusan 21-12, 21-14.

Begitupun tugas berat menanti Kian Meng-Pei Jing yang akan bertemu pilihan pertama Zheng Si Wei-Huang Ya Qiong dari China yang terdahulu berdepan tugas getir sebelum dapat mengetepikan cabaran gandingan dari Thailand, Supak Jomkoh-Supissara Paewsampran 21-9, 19-21, 21-19.

Selain Zii Jia yang tersungkur di pusingan ketiga turut mengikut jejak langkah yang sama ialah beregu wanita selaku pilihan ke-10 menerusi gandingan Pearly Tan-M. Thinaah.

Mereka tewas mudah kepada gandingan dari Jepun, Matsuyama Nami-Shida Chiharu apabila tunduk 21-16,21-16.

Satu lagi beregu wanita negara yang turut kecundang ialah pasangan Vivian Hoo-Lim Chiew Sien tewas kepada pilihan ketiga Lee So Hee- Shin Seung Chan dari Korea Selatan 21-13, 21-16. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button