Ekonomi

Tiga sektor ekonomi diperkasa di Perlis

22 Oktober 2024.
Kangar.

Negeri Perlis akan terus memperkasa tiga sektor ekonomi utamanya iaitu perindustrian, pertanian dan juga pelancongan.

Potensi-potensi besar lain seperti kuari dan perlombongan, logistik, pendidikan dan latihan, teknologi hijau dan perikanan juga akan dimanfaatkan sebaiknya bagi memastikan sektor ekonomi negeri ini sentiasa berada pada landasan yang tepat dan setaraf dengan negeri-negeri lain.

Denikian menurut kenyataan media Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis dititahkan oleh Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan melancarkan Promosi Masakan Perlis yang diadakan di Restoran Meet Bros (By Me’nate & Jibby & Co.) yang beroperasi di 29-31 Craven Road, London W2 3BX, United Kingdom baru-baru ini.

Keberangkatan tiba Baginda bersama-sama Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil ke majlis yang dihoskan oleh pihak restoran tersebut disambut oleh Wakil Pengarah, Jalani Abdul Ghani dan Pengurus, Yusri Othman.

Kurma Daging dan Kurma Ayam Perlis buat permulaannya akan di masukkan dalam menu restoran tersebut selama 1 bulan bermula pada 1 November ini sebagai sebahagian daripada usaha untuk turut menyokong kempen Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024-2025.

Promosi ini diinisiatifkan oleh Azuan Arif Tan Sri Mohd Ariffin yang merupakan Pengarah Eksekutif, Palace Butcher Resources Sdn Bhd (PBRSB) dan salah seorang rakan kongsi restoran berkenaan dan perasmiannya turut mendapat kerjasama daripada rakan strategiknya seperti Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis, Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) dan Dhaya Maju Infrastructure (Asia) (DMIA) Sdn. Bhd.

Tuanku Syed Faizuddin Putra dan Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah berangkat ke London bagi menerima undangan melawat Siemens Mobility di Chippenham yang telah memeterai perjanjian persefahaman dengan pihak DMIA di Innotrans Berlin 2024 sebelum ini.

Dalam pada itu, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke United Kingdom, Datuk Zakri Jaafar yang turut menghadiri majlis tersebut berkongsi bahawa ‘Bagi sektor pelancongan, sehingga Julai 2024 seramai 208,189 pelancong daripada United Kingdom (UK) telah masuk ke Malaysia. Sepanjang 2023 yang lalu, seramai 156,000 pelancong Malaysia melawat UK.

Tambah beliau, ‘Menurut data UK, terdapat lebih kurang 70,000 rakyat Malaysia yang menetap di negara ini, termasuk 12,000 orang pelajar’.

(Foto : Ihsan Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button