TIGA pelajar Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS), Jitra telah melakar kejayaan yang membanggakan apabila menghasilkan inovasi “Fish Feeding”.
“Fish Feeding” ini adalah untuk kegunaan di Kolam Penternakan Ikan Tawar milik Koperasi Keluarga Koiyan, Jitra, Kedah.
Projek ini melibatkan pelajar Diploma Kejuruteraan Perkhidmatan Bangunan, Jabatan Kejuruteraan Awam, POLIMAS yang terdiri dari Muhammad Fadzil Abd Razak, Nursyazwanie Najwa Mohd Supian dan Nur Athirah Nor Zaid.
Noor Liza Ramli selaku Ketua Penyelaras Inovasi dan juga fasilitator pelajar berkata, projek ini dihasilkan akibat masalah yang dihadapi oleh syarikat dari segi kos tenaga elektrik, kekangan pekerja tempatan bagi melakukan kerja-kerja di tapak kolam seperti kekurangan tenaga pekerja untuk memberikan makanan kepada ternakan ikan dan udang galah mengikut jadual pemakanan yang ditetapkan.
Katanya, akibat masalah yang dihadapi ini Koperasi Keluarga Koiyan ini telah memohon bantuan dari pihak POLIMAS untuk penyelesaian masalah dan akhirnya wujudlah satu inovasi yang dinamakan “Automatic Fish Feeding & Oxygen Pump Using Solar System For Fish & Lobster Pond atau nama ringkasnya “Fish Feeding”.
Ketua Projek Pelajar, Muhammad Fadzil Abd Razak berkata, pihaknya mengambil masa selama 23 hari untuk menyiapkan projek ini.
“Projek ini telah melalui tiga fasa perlaksanaan kerja di mana fasa pertama adalah pembinaan sistem solar bagi tujuan bekalan tenaga elektrik,” katanya
Tambahnya, fasa kedua pula pemasangan sistem bekalan oksigen bersama penapis air.
“Fasa terakhir ialah mesin “Fish Feeding”, kawalan automatik yang telah disetkan bagi masa operasi serta boleh dikawal secara jarak jauh dengan menggunakan telefon pintar yang berkonsepkan Internet of Thing (IoT),” katanya.
Beliau berkata, keseluruhan operasi projek adalah menggunakan tenaga solar sepenuhnya.
Katanya hasil pembinaan projek telah dapat membantu syarikat mengurangkan kos pengoperasian dari segi kos tenaga buruh dan kos tenaga elektrik yang ditanggung sebelum ini.
Pengarah Urusan Koperasi Keluarga Koiyan Berhad, M. Jeevanandam amat berterima kasih kepada POLIMAS kerana telah membantu menjimatkan masa, tenaga kerja dan kos oeperasi.
“Pekerja saya tidak perlu lagi memberikan makanan mengikut jadual di mana cuma isi makanan di dalam bekas dan pantau sahaja sekiranya ada masalah,” katanya.
Pengarah POLIMAS, Kamaludin Daud pula melahirkan rasa bangga kerana produk inovasi yang dihasilkan oleh pelajar ini, dapat membantu pengusaha kolam ternakan ini melaksanakan tugasan dengan lebih efektif, mudah dan menjimatkan kos.
Katanya lagi, ia adalah sumbangan politeknik kepada masyarakat kerana bantuan yang diberikan ini boleh membuka mata masyarakat bahawa kepakaran tenaga pengajar di politeknik juga setanding dengan kepakaran tenaga pengajar di Institut Pendidikan Tinggi yang lain. -SM