Politik

Armada Johor dakwa Bajet 2023 sandiwara politik ugut rakyat

ARMADA Bersatu Johor menganggap Bajet 2023 sebagai satu kempen politik Barisan Nasional (BN) menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Muhammad Shamsuddin Paijan berkata, pembentangan Bajet 2023 sekadar ‘sandiwara politik’ yang dilakonkan pemimpin Barisan Nasional (BN) bagi mengaburi mata rakyat daripada terpandang perbuatan dan niat mereka yang lebih utama iaitu membubarkan Parlimen bagi membuka laluan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan dalam tempoh 60 hari.

ARMADA Bersatu Johor menyifatkan pembentangan Bajet 2023 hanya ‘umpan’ atau ‘gula-gula’ kerana BN menyedari pembubaran Parlimen dibantah sebahagian besar rakyat, Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri kerana tindakan itu akan mengheret PRU15 diadakan ketika musim tengkujuh mulai November ini.

ARMADA Bersatu Johor berharap Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub menjelaskan persoalan supaya rakyat mendapat pencerahan atau boleh menerima kewajaran kedua-dua tindakan beliau iaitu ‘wayang’ pembentangan Bajet 2023 kerana disusuli pula dengan pembubaran parlimen tiga hari kemudian.

“Antara persoalan yang perlu dijawab adalah, pertama, apakah tujuan BN bersungguh-sungguh ‘memperdayakan’ rakyat dengan membentangkan Bajet 2023 yang tidak memberi apa-apa makna atau manfaat kepada rakyat apatah lagi negara.


“Kedua, apakah Bajet 2023 dibentangkan hanya sebagai strategi untuk ‘melunakkan hati’ dan menarik sokongan rakyat sebelum ditukar menjadi manifesto BN atau digembar-gemburkan dalam kempen PRU-15 dan ketiga, bolehkah angka-angka penting melibatkan nilai geran, jumlah peruntukan, projek dan bantuan wang tunai yang dibentangkan menerusi Bajet 2023 boleh diterbitkan semula dalam apa juga bentuk bagi tujuan meraih keberkesanannya atau mempengaruhi rakyat supaya menyokong BN,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Justeru, ARMADA Bersatu Johor mahu rakyat lebih matang dan menggunakan kuasa undi mereka kali ini untuk mengangkat kerajaan baharu yang berwibawa, berintegriti serta mendokong keprihatinan rakyat yang sedang diperjuangkan oleh Perikatan Nasional. – SM

 

(Visited 41 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button