Sukan
Tiga kelab Liga Super alami isu tunggakan gaji didenda RM15,000
Tiga kelab Liga Super yang sedang berdepan isu tunggakan bayaran gaji, semalam dikenakan denda RM15,000 serta merta oleh badan bebas Financial Fair Play First Instance Body (FFP FIB), demikian menurut Liga Bolasepak Malaysia (MFL).
Memetik BERNAMA, denda itu berikutan MFL FFP masih belum menerima sebarang penyelesaian berhubung tunggakan gaji atau mendapat persetujuan bersama kedua-dua pihak, dan menghantar bukti kepada FFP FIB selepas 30 hari sekatan perpindahan pemain jendela kedua musim 2024/2025 dikenakan ke atas tiga kelab tersebut.
Tiga kelab berkenaan juga perlu menghantar bukti resit bayaran atau pelan pembayaran ansuran bagi tunggakan gaji melibatkan pemain, pegawai dan pentadbiran dan agensi kerajaan iaitu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Sistem Insurans Pekerja (SIP).
Bukti bayaran atau pelan pembayaran ansuran, perlu dihantar dalam masa 30 hari selewatnya 25 Okt ini.