Politik

Tak sampai 9 jam, lebih 12,000 tandatangan petisyen desak Kit Siang tunai janji

TIDAK sampai sembilan jam petisyen Rakyat tuntut Kit Siang tunai janji  untuk bersara politik dilancarkan lebih 12,000 tandatangan telah dikutip.

Petisyen yang dilancarkan oleh Ahmad Abdul di  Change.org  itu bagi menuntut Penasihat DAP itu menunaikan janjinya sendiri untuk bersara jika Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak menyerahkan jawatan perdana menteri kepada Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Rakyat Malaysia menuntut pemimpin-pemimpin Malaysia untuk membuktikan mereka masih ada integriti dan mampu menonjolkan sikap kepimpinan melalui teladan.

“Rakyat sudah jelik dengan pemimpin-pemimpin politik Malaysia yang suka menabur janji kosong sesuka hati. Kita tidak mahu dikencing lagi,” tulis Ahmad pada petisyen berkenaan.

Pada 10 Mei tahun lalu media melaporkan Kit Siang berkata, beliau sedia bersara dari politik jika Dr. Mahathir enggan menyerahkan jawatan perdana menteri kepada Anwar.

Pemimpin veteran DAP itu membuat janji tersebut bagi membalas kenyataan Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan  yang mendakwa Dr. Mahathir lebih rela membubarkan parlimen dan mengadakan pilihan raya daripada memberikan kerusi perdana menteri kepada Anwar selepas dua tahun.

“Saya sangat yakin dengan Mahathir dan saya sedia ‘bertaruh’ dengan Mohamad bahawa Dr Mahathir akan menunaikan komitmen (Pakatan ) Harapan memberikan proses peralihan kuasa jawatan perdana menteri kepada Anwar.

“Jika, Mahathir tidak memberikan jawatannya kepada Anwar, sebaliknya membubarkan parlimen untuk mengadakan PRU15 lebih awal, saya akan bersara dari politik dan tidak akan bertanding pada PRU15.

“Sekiranya, Mahathir berpegang kepada kata-kata beliau dan memberikan jawatan kepada Anwar, kemudian Mohamad perlu berundur dan tidak akan bertanding pada PRU15,” kata Kit Siang seperti yang dilaporkan oleh Malaysiakini.

Pada 23 Februari lalu Dr. Mahathir melepaskan jawatan Perdana Menteri selepas berlaku kemelut politik dalam Pakatan Harapan. Sebelum itu Dr. Mahathir dilaporkan akan menyerahkan jawatan tersebut kepada Anwar sebagai Perdana Menteri ke-8.

Petisyen Rakyat tuntut Lim Kit Siang tunaikan janji untuk bersara dipercayai diwujudkan selepas Kit Siang menulis dalam blognya menyeru rakyat untuk menandatangani petisyen mendesak kerajaan mengadakan sidang Parlimen selama dua minggu bagi membincangkan isu berkaitan virus Covid-19.

BACA Kit Siang minta rakyat sokong petisyen bantah sidang Parlimen sehari

Petisyen atas talian tersebut dilancarkan oleh Aliran minggu lalu menyeru sekurang-kurangnya dua minggu persidangan Parlimen bermula 18 Mei dan setakat ini memperoleh hampir 39,000 tandatangan.

“Perbuatan melewatkan persidangan sebenar Parlimen ke bulan Julai lebih daripada lapan bulan sejak persidangan yang terakhir — ini menghina keperluan Perlembagaan ini, yang bertujuan untuk memastikan cabang eksekutif tidak memonopoli kuasa tanpa sebarang semak imbang Parlimen untuk satu tempoh yang terlalu lama.

Kami seru supaya persidangan Parlimen diadakan sekurang-kurangnya dua minggu, bermula 18 Mei (tanpa mengira minggu cuti sambutan Hari Raya) mungkin dengan melalui sistem persidangan video atau pun dengan penjarakan sosial yang bersesuaian supaya semua isu-isu penting boleh dibentangkan dan dibahaskan secepat mungkin!” tulis Aliran pada petisyen tersebut.-SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button