Tidak peduli SOP serbu pantai Pengkalan Balak
ALOR GAJAH 2 Feb. – Tanpa mempedulikan prosedur operasi standard (SOP) orang ramai khususnya pelancong dari luar Melaka termasuk penduduk tempatan mengambil kesempatan menghabiskan cuti sempena Cuti Tahun Baru Cina di pantai Pengkalan Balak, Masjid Tanah di sini semalam.
Bagaikan burung terlepas dari sangkar, pengunjung memenuhi setiap ruang pantai untuk bersantai termasuk di pantai Padang Kemunting berhampiran Pusat Konseversi dan Penerangan Penyu.
Peningkatan kes Covid-19 sejak akhir-akhirnya ini langsung tidak dipedulikan oleh mereka malah ada yang berani berjalan tanpa memakai pelitup muka.
Mereka langsung tidak mempedulikan penjarakan sosial seolah-olah penularan pandemik Covid-19 sudah berakhir. Kehadiran pihak berkuasa pula tidak kelihatan untuk memantau atau menasihatkan pengunjung agar mematuhi SOP.
Begitulah situasi yang berlaku di pantai percutian Pengkalan Balak yang paling dalam kalangan pelancong domestik apabila berkunjung ke negeri Hang Tuah setiap kali cuti kelepasan am atau cuti hujung minggu.
Cuti sempena Tahun Baru Cina menyebabkan jalan masuk ke pantai peranginan itu sesak dengan kenderaan sejak pagi hingga waktu tenghari.
Begitupun bagi penduduk tempatan mereka mencari jalan alternatif mengikut laluan Tanjong Bidara-Padang Kemunting bagi mengelak kesesakan luar jangka.
Bukan sahaja pantai Pengkalan Balak menjadi tumpuan malah pantai Padang Kemunting juga turut diserbu ribuan orang ramai untuk bersantai bersama keluarga.
Puluhan tempat penginapan seperti chalet, resort dan motel di sepanjang pantai Pengkalan Balak hingga ke Padang Kemunting habis ditempah sejak Sabtu lepas.
Cuti berkembar selain Tahun Baru Cina dan Hari Wilayah menyebabkan pantai berkenaan menjadi tumpuan memandangkan tempat percutian itu paling hampir.
Malah ada pengunjung yang datang dari Kuala Lumpur dan Selangor cuba mencari tempat penginapan secara walk-in hampa apabila kesemua tempat penginapan habis ditempah hingga memaksa mereka mencari hotel di
bandar Melaka.
Paling mengukir senyum ialah peniaga gerai menjual makanan dan minuman yang tidak menang tangan melayan kehadiran pelanggan silih berganti sejak dari pagi hingga ke petang.
Tidak terkecuali peniaga peralatan mainan di pantai seperti pelampong dan sebagainya turut diserbu pengunjung.
Sepanjang pantai dipenuhi orang ramai yang mandi manda, pengunjung menikmati makanan dan minuman di warung sepanjang pantai berkenaan.