Politik

Tidak mempunyai moral standing: Najib ‘sekolahkan’ Wan Saiful

SELEPAS dituduh sebagai tidak mempunyai ‘moral standing’ untuk menegur kerajaan, bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyekolahkan Ketua Penerangan Besatu Datuk Wan Saiful Wan Jan.

Najib berkata, pemimpin bermoral mana yang sudi melakukan apa yang dia lakukan selama ini dalam menegur dan memperbetulkan kerajaan terhadap beberapa isu berkaitan kepentingan rakyat.

“Penulis manifesto bukan kitab suci kata: “Sekarang ini banyak betul pandangan beliau mengenai apa patut kerajaan lakukan tetapi saya rasa Najib tidak mempunyai ‘moral standing‘ untuk berbuat demikian.”

“Pada awal pandemik, Najib juga yang paling awal saran kerajaan PH untuk segera sekat pelawat China pada ketika tiada seorang ahli politik lain bising tentang perkara ini.

“Pada awal pentadbiran kerajaan PN, Najib juga yang saran naikkan bantuan tunai kepada rakyat, beri moratorium pinjaman dan pengeluaran dari akaun 2 KWSP semasa rakyat menghadapi PKP 1.0.

“Masa itu juga, Najib yang suruh kerajaan letakkan harga lantai (harga minimum) bagi harga minyak antara RM1.50 hingga RM1.80 agar inflasi tidak akan mencanak naik dan mencetuskan inflasi tinggi apabila harga minyak dunia memulih.

“Najib juga yang tuntut dalam Parlimen serta dalam Facebook secara berturut-turut untuk beberapa hari pada awal bulan Julai bahawa langkah kerajaan untuk jimat sedikit kos dengan tukar kuarantin wajib di pusat kuarantin kerajaan ke kuarantin kendiri dalam rumah bagi pelawat asing akan mengundang PKP musim kedua. Tiada seorang lain dari kerajaan atau PH yang kisah perkara ini.

“Lalu dimansuhkan kuarantin kendiri juga kerajaan, PN tapi sudah terlambat setelah pelawat dari India langgar kuarantin kendiri dan membawa masuk varian baru Covid yang mencetuskan beberapa kluster baru di Kedah dan negeri-negeri utara termasuk kluster Sivagangga dan kluster penjara Alor Setar yang kemudiannya menular ke seluruh negara melalui pemindahan banduan.

“Najib juga yang suruh sekat rentas negeri awal-awal pada permulaan bulan Oktober untuk elak Covid dari Sabah menular ke Semenanjung tapi tidak didengar kerajaan dan gelombang ketiga tercetus hingga sekarang.

“Najib juga yang cadang dan tegas untuk tuntut pengeluaran one-off tanpa syarat dari akaun 1 KWSP. Akhirnya dibuat kerajaan PN berbulan-bulan kemudian selepas dimaki teruk rakyat lalu PN sendiri ambil kredit selepas tuduh Najib beri syarat Puteri Gunung Ledang.

“Najib juga yang memberi amaran awal pada bulan Oktober tahun lepas semasa percubaan pertama kerajaan PN bahawa Darurat tidak diperlukan, tidak membantu mengawal Covid dan hanya akan melumpuhkan pelaburan. Akhirnya terbukti benar hari ini.

“Pada bulan Disember lalu, Najib juga yang saran kerajaan PN naikkan kembali tempoh kuarantin wajib dari 7 hingga 10 hari ke 14 hari dan langkah tak masuk akal kerajaan PN untuk turunkan tempoh kuarantin itu akan membawa masuk varian-varian baru lebih berbahaya yang mula muncul.

“Akhirnya, kerajaan PN buat juga 4 bulan kemudian dan kata ini adalah langkah untuk kurangkan risiko tapi sudah terlambat sebab varian mutasi UK, mutasi berkembar India dan mutasi Afrika Selatan sudah menular.

“Dan Najib juga yang suruh kerajaan buat PKP 2.0 dengan betul. Buat amat ketat dan pendek supaya masalah tidak berpanjangan. Jangan buat benda bodoh seperti memberi kelonggaran bagi sektor-sektor kilang dan tapak pembinaan yang menyumbang bahagian paling besar gelombang ketiga untuk terus beroperasi semasa membuat PKP 2.0 yang kononnya untuk melawan gelombang ketiga.

“Najib juga yang beri amaran awal bahawa cara PKP 2.0 dibuat tidak akan berjaya kurangkan kes baru Covid ke dua angka supaya Rakyat boleh rentas negeri untuk balik raya pada bulan Mei. Akhirnya terbukti benar hari ini.

“Adakah ianya gagal segagalnya apabila kerajaan PN perlu buat PKP 3.0 dengan serta-merta sebab keadaan sudah menjadi kritikal setelah PKP 2.0 ditamatkan hanya dua bulan dahulu. Masih nak nafi dan salahkan Najib?” katanya panjang lebar.

Ahli Parlimen Pekan itu meminta Wan Saiful supaya menunjukkan cadangan atau saranan yang dilontarkan beliau tidak menguntungkan rakyat dan kerajaan.

Wan Saiful sebelum ini mendakwa bekas Najib tidak memiliki ‘moral standing‘ untuk memberi pandangan terhadap apa yang perlu dilakukan kerajaan pada ketika ini.

Menurutnya, tindakan Najib ketika ini adalah menjengkelkan dan membuatkan rakyat tertanya-tanya mengapa beliau tidak melakukan semua itu ketika masih berkuasa.-SM

 

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button