Rencana

Tidak kira kerajaan mana memerintah, isu harga tetap berlaku

Oleh: WAI TEE

Kerajaan bertukar, menteri bertukar namun harga barang akan terus menjadi isu yang menghantui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Itu adalah realiti yang terpaksa dihadapi bukan sahaja oleh menteri dan pegawai kementerian tetapi juga rakyat kerana banyak faktor mempengaruhi harga sesuatu barangan.

Lebih-lebih lagi jika barangan tersebut diimport dari luar negara sama ada yang sedia digunakan mahupun bahan mentah.

Barang asas seperti bawang, ikan seperti kembung dan selar serta sayur-sayuran seperti kobis, sawi dan tomato merupakan barang keperluan yang sangat dekat di hati pengguna.

Ayam dan telur adalah sumber protin yang termurah untuk golongan B40 dan keluarga muda M40.

Sedikit perubahan pada harga barang asas itu pasti akan menggegarkan ruang komen pengguna, lebih-lebih media sosial.

MITOS KESAN HARGA PETROL KEPADA HARGA BARANG

Setiap kali harga petrol naik sudah pasti ia turut mempengaruhi barangan lain termasuk air suam dan teh tarik.

Bagaimanapun bila harga minyak turun sekitar AS$60 setong harga barang tidak pula turun.

Ketika Perintah Kawalan Pergerakan tahun lalu minyak mentah dunia merudum sehingga USD35 setong. Petrol RON95 dan diesel turut turun sehingga RM1.25 seliter tetapi harga barang tetap pada harga ketika petrol mencanak.

Begitulah, mitos sudah menjadi realiti. Kenaikan harga petrol hanya menjadi alasan oleh pihak berkepentingan menaikkan harga barangan. Tapi bila harga minyak turun mereka buat tidak tahu.

Benarlah bidalan orang tua-tua, “hanya hujan sahaja yang turun, lain semua naik”.

KOMPONEN MEMPENGARUHI HARGA BARANG

Setiap pengguna perlu faham asas ekonomi bahawa  setiap barang mempunyai komponen untuk menghasilkan atau mengeluarkannya.

Contohnya untuk ikan, sotong dan udang sampai ke pasar memerlukan nelayan, kapal/bot dan peralatan menangkap hidupan laut itu. Kapal memerlukan diesel untuk ke laut. Semua komponen melibatkan kos.

Sebab itu kerajaan beri subsidi diesel untuk mengurangkan harga ikan, walaupun ada nelayan yang menyalahguna dengan menjual diesel bersubsidi kepada nelayan asing untuk keuntungan segera.

Sayur-sayuran pula memerlukan tanah, benih, racun dan baja. Ada pula memerlukan rumah hijau untuk memastikan kualiti terjamin sepanjang tahun. Belum lagi air, elektrik dan teknologi hidroponik dan fertigasi. Setiap komponen memerlukan kos.

Dalam pengeluaran ayam dan telur pula, reban, baka ayam, ubat-ubat, vitamin dan makanan ayam adalah antara komponen yang terpenting.

Realitinya setiap komponen melibatkan kos yang akan menentukan harga kepada peniaga dan akhirnya kepada pengguna.

Harga segelas teh tarik mengambilkira kos air, gas memasak, teh, susu, gula, gaji pekerja dan sewa kedai

KESAN UPAH DAN GAJI TERHADAP HARGA

Setiap industri memerlukan pekerja. Tanpa pekerja barang keperluan tidak dapat dihasilkan dan dipasarkan.

Setiap pekerja memerlukan upah atau gaji yang akan digunakan bagi sara hidup diri dan keluarga. Sudah pasti mereka juga mengharapkan gaji dinaikkan setiap tahun seperti yang dinikmati oleh sektor awam.

Semakin ramai pekerja mahir, semakin tinggi komponen upah yang akan dimasukkan ke dalam kos pengeluaran yang kemudiannya diterjemahkan kepada harga jualan yang harus dibayar oleh pengguna.

KOS PENGANGKUTAN

Setiap produk yang dihasilkan memerlukan pengangkutan untuk dihantar ke pusat jualan. Ada yang menggunakan pengangkutan darat, laut dan udara untuk memasarkan barangan.

Setiap pengangkutan memerlukan petro dan diesel yang kemudiannya mempengaruhi harga barangan di pasaran.

BAHAN MENTAH DARI LUAR NEGARA

Kos pasti meningkat jika bahan mentah, peralatan, bahan makanan ternakan, vitamin dan ubat-ubatan  adalah dari sumber import.

Kekurangan bekalan dalam dunia dan tukaran mata wang asing boleh memberi kesan kepada harga bahan mentah.

Bukan sesuatu yang asing apabila penternak baru-baru ini merungut harga soya dan jagung yang digunakan dalam makanan ayam, vitamin dan ubat-ubatan meningkat.

Ini merupakan kes klasik bagaimana bahan mentah boleh memberi kesan kepada harga jualan ayam di pasaran yang terpaksa ditanggung oleh pengguna.

FAKTOR CUACA DAN PENYAKIT

Ramai pengguna tidak menyedari bahawa cuaca dan penyakit turut mempengaruhi harga jualan.

Musim tengkujuh akan mengurangkan hasil laut yang memberi kesan kepada harga kerana nelayan tidak dapat turun ke laut.

Musim hujan dan sejuk mempengaruhi hasil tanaman dan pembesaran ayam juga akan memberi kesan kepada bekalan yang kemudiannya mempengaruhi harga jualan.

PASARAN BEBAS

Penawaran dan permintaan adalah elemen dalam pasaran bebas yang menentukan harga barangan. Setiap individu adalah pengguna termasuk peniaga dan pengusaha.

Dalam pasaran bebas mereka juga terkesan apabilan kenaikan harga keterlaluan. Mereka juga terpaksa membayar lebih apabila harga meningkat.

Bagaimanapun pasaran mestilah dibiarkan untuk melaras harga barangan dalam pasaran.

Kenaikan selalunya bersifat sementara dan bila bekalan kembali pulih atau permintaan berkurangan disebabkan produk alternatif akan melaraskan harga di pasaran.

HARGA MINYAK SAWIT

Harga minya sawit turut dipengaruhi oleh penawaran dan permintaan dunia kerana menjadi komoditi dunia walaupun barang tersebut adalah keluaran dalam negara.

Dalam tahun 2018-2019 harga minyak sawit mentah pasaran dunia diniagakan pada harga RM2,500.00 per tan metrik. Justru pada waktu itu harga minyak sawit tulen botol 5kg dijual pada harga sekitar RM18.00 hingga RM22.00.

Pada pertengahan tahun 2020, harga sawit mentah di pasaran dunia telah melonjak ke pasara tertinggi RM4,500.00 per tan metrik. Amat mustahil minyak masak sawit tulin 5kg dijual pada harga RM18.00 lagi.

Justru kerajaan menetapkan harga siling minyak masak sawit tulin 5kg di paras RM29.70.

Apakah harga itu boleh diterima pengguna? Yang pasti Kerajaan terpaksa membelanjakan jutaan ringgit untuk menampung subsidi minyak masak tulen untuk yang botol dan paket polibeg 1kg.

APA PENGGUNA BOLEH LAKUKAN?

Pengguna mempunyai kuasa yang besar dalam mempengaruhi pasaran dan menentukan harga.

Ketaksuban terhadap sesuatu jenama, barang dan premis boleh menyebabkan harga dieksploitasi oleh pihak berkepentingan.

Pengguna memiliki banyak pilihan dan seharusnya melaksanakan hak mutlak mereka mengekplorasi setiap alternatif yang ada demi kebaikan diri dan ekonomi mereka.

Sedikit pengorbanan demi kebaikan jangka panjang adalah penyelesaian sementara yang diperlukan apabila berlaku kenaikan harga.

Pilihan boleh dalam bentuk barang yang serupa tetapi jenama yang lain. Ataupun barang yang sama tapi dibeli dari peniaga yang lain.

Pengguna harus fleksibel dan tidak mementingkan cara mereka sahaja. Amat ironi bila pengguna rela menjadi pejuang kepada peniaga yang berkeras mengekalkan margin keuntungan mereka.

Yang pengguna perlukan bukan harga kawalan, tetapi harga yang terkawal yang menguntungkan mereka dan semua rantaian bekalan.

Selagi pengguna tidak berganjak paradigma mereka, isu harga barang akan sentiasa berulang walau kerajaan bertukar tiap tahun.

Inilah yang berlaku, kerajaan bertukar beberapa kali sejak 2018, harga barangan tetap naik tidak kira parti mana yang menjadi pemerintah.

WAI TEE merupakan penulis bebas.

 

 

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button