SIASATAN polis mendapati tidak berlaku sebarang unsur jenayah melibatkan kemalangan motosikal yang didakwa akibat terlanggar tali di terowong Penchala Link.
Perkara itu dimaklumkan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid susulan tularnya satu rakaman mesej suara di media sosial.
“Pada 6 September lalu kira-kira pukul 10.37 pagi, kita telah menerima satu laporan polis berkaitan kemalangan jalan raya di Lebuh raya Sprint melibatkan sebuah motosikal terlanggar tali yang dipasang secara melintang di atas jalan raya.
“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku pada 2 September lalu kira-kira pukul 6.30 petang melibatkan mangsa yang sedang menunggang motosikalnya menghala ke Meru, Klang.
“Ketika sampai di lebuh raya Sprint kira-kira satu kilometer dari susur keluar Plaza Tol Damansara, mangsa telah terlanggar tali layang-layang yang terputus dan mengenai mukanya.
“Akibat kejadian itu, mangsa yang berusia 28 tahun telah mengalami luca di bahagian pipi dan bibir,” katanya.
Mohamad Fakhrudin berkata, siasatan yang dijalankan mendapati tiada sebarang unsur jenayah atau khianat melibatkan kes kemalangan tersebut.
Jelasnya, kejadian ini juga tidak mempunyai kaitan dengan kes cubaan ragut di Terowong Pencahala Link seperti yang tular di media sosial pada semalam.
“Sehingga kini, kita tidak menerima sebarang laporan berkaitan kes cubaan ragut dengan memasang tali tangsi di terowong Penchala Link seperti yang ditularkan,” katanya.
Tambahnya, mangsa diminta untuk tampil membuat laporan polis supaya siasatan lanjut atas dakwaan tersebut dijalankan. -SM