Nasional

Tiada siapa bantah kerajaan ikut undang-undang China hukum pemandu mabuk

BEKAS Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyarankan sudah sampai masanya kerajaan mengikut dasar toleransi alkohol sifar ke atas pemandu yang diamalkan oleh negara China

Najib berkata, sejak 10 tahun lalu negara China telah mengenakan hukuman yang berat kepada pemandu yang memandu dalam keadaan mabuk.

Menurut Ahli Parlimen Pekan itu, di negara China sekiranya kandungan alkohol dalam darah (BAC) pemandu antara 0 peratus hingga 0.08 peratus, mereka akan didenda RM2,000 dan lesen memandu digantung secara mandatori selama 6 bulan.

Sedangkan di Malaysia tiada sebarang hukuman dikenakan terhadap pemandu yang mempunyai bacaan yang sama.

Hukuman hanya dikenakan sekiranya pemandu terbabit mempunyai BAC pada paras 0.08 peratus dan ke atas iaitu denda tidak kurang RM1,000 dan tidak lebih RM6,000 atau penjara tidak lebih 12 bulan.

Sementara di China bagi BAC yang sama, pemandu dikenakan penjara mandatori sehingga 3 tahun dan lesen memandu digantung selama 5 tahun.

Negara itu juga memperuntukan hukuman yang keras terhadap pemandu mabuk yang menyebabkan kematian dengan hukuman kesalahan jenayah membunuh.

“Kita ikut sahaja dasar toleransi alkohol sifar semasa memandu negara China.

“Tiada siapa yang akan membantah atau mengadu jika kita ikut hukuman yang sudah dilaksanakan di negara China sejak 10 tahun lalu,” saran Najib.

Menurutnya, tiada lagi alasan bagi sesiapa untuk memandu dalam keadaan mabuk dalam era e-hailing.

Mereka yang mahu minum minuman beralkohol perlu menggunakan perkhidmatan tersebut atau menyuuruh kawan yang tidak minum alkohol untuk memandu.

“Sudah sampai masa untuk Malaysia memperketatkan dan memperberatkan hukuman kesalahan ini,” tegas Najib.

Media hari ini melaporkan seorang petugas barisan hadapan mengekang Covid-19 Koperal Safwan Mohammad Ismail maut ketika mengawal sekatan jalan raya di Plaza Tol Kajang Selatan selepas dirempuh oleh seorang pemandu yang disyaki dalam keadaan mabuk.

Safwan 31, dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di badan dan kepala setelah dirempuh kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux.

Ketua Polis Daerah Kajang, ACP Mohd Zaid Hassan, berkata hasil siasatan mendapati semasa kejadian pemandu Hilux berusia 44 tahun itu memandu dari arah Kajang menuju ke arah Plaza Tol Kajang Selatan.

“Apabila sampai di sekatan jalan raya, pemandu Hilux gagal mengawal kenderaannya kerana disyaki memandu di bawah pengaruh alkohol sehingga melanggar seorang anggota polis yang sedang bertugas, sebelum melanggar kenderaan anggota yang diletakkan di tepi jalan,” katanya dalam kenyataan.-SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button