NasionalParlimen

Tiada rebet pelepasan cukai kepada OKU B40, M40 beli kenderaan bermotor

KEMENTERIAN Kewangan (MOF) tidak merancang untuk memberikan rebat pelepasan cukai kepada golongan Orang Kurang Upaya (OKU) dalam kategori B40 dan M40 bagi pembelian kenderaan bermotor buat masa ini.

Menurut kementerian, Kerajaan ada menyediakan pengecualian sepenuhnya ke atas duti eksais kenderaan untuk semua individu OKU dan cacat fizikal yang berkeupayaan memandu dengan syarat-syarat seperti berikut:

  1. Pemohon Berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM);
  2. Pemohon memiliki lesen memandu yang sah;
  3. Kenderaan tidak boleh dijual atau ditukar milik sehingga tamat tempoh 5 tahun;
  4. Pengecualian dengan kebenaran Kementerian Kewangan; dan
  5. Pengecualian hanya dibenarkan untuk sebuah kenderaan bagi setiap 5 tahun.

MOF berkata demikian dalam menjawab soalan Isaiah Jacob minta Menteri Kewangan menyatakan adakah Kementerian berhasrat untuk memberikan rebat pelepasan cukai bagi pembelian kenderaan bermotor berjenama tempatan di bawah harga RM45,000 untuk golongan sasaran Orang Kurang Upaya berkategori B40 dan M40 dalam pertanyaan lisan di Dewan Negara, pagi ini.

Menurut MOF lagi, dari ari aspek pelepasan cukai pendapatan, OKU di bawah kategori B40 dan M40 layak menikmati rebat pelepasan cukai pendapatan sebanyak RM400 bagi pendapatan bercukai kurang daripada RM35,000.

Selain itu, katanya, sebarang perbelanjaan membeli peralatan sokongan asas ke atas diri sendiri layak menuntut potongan cukai sehingga RM6,000 dan potongan cukai tambahan sebanyak RM6,000.

Secara keseluruhannya, terdapat 21 item pelepasan cukai kepada golongan OKU bergantung kepada syarat-syarat dan kelayakan.

“Golongan OKU yang berada dalam kategori B40 besar kemungkinan mereka tidak dikenakan cukai setelah mengambil kira pelbagai pelepasan cukai dan rebat yang berkaitan. Justeru layanan cukai sedia ada dilihat memadai bagi meringankan beban golongan OKU bagi kategori B40 dan M40.

“Walau bagaimanapun, Kerajaan akan sentiasa mengkaji dan menambah baik dasar percukaian sedia ada dari semasa ke semasa seiring dengan persekitaran ekonomi,” kata MOF. – SM

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button